suria

Isu Kalimah Allah: Kabinet Bersatu Tanganinya Walaupun Reaksi Berbeza - TPM

PUTRAJAYA: Reaksi berbezabeza daripada pemimpin bukan Islam dalam kerajaan terhadap isu penggunaan kalimah Allah tidak akan menyebabkan perpecahan dalam kabinet, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau tidak nampak isu berkenaan akan menyebabkan ketegangan di kalangan pemimpin kerajaan.

Katanya, sebagai pemimpin yang mewakili pelbagai parti politik dan menganut agama yang beza mereka tentulah mempunyai pandangan mereka sendiri dan kerajaan menghormati pandangan tersebut.

Namun pada yang masa sama kerajaan bersatu dalam menangani isu tersebut, tegas beliau kepada pemberita selepas menyampaikan perutusan Tahun Baru 2010 kepada warga Kementerian Pelajaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

"Saya tidak fikir (perpecahan dalam Kabinet). Kita amat faham dengan situasi. Saya tidak fikir ia begitu kritikal pada peringkat ini. Ianya adalah perkara biasa untuk mempunyai pendapat yang berbeza," katanya.

Muhyiddin turut menyangkal dakwaan pembangkang bahawa Umno cuba mempolitikkan isu tersebut kerana sebenarnya pembangkang cuba meraih kepentingan politik daripada isu tersebut, malah kenyataan para pemimpin mereka jauh berbeza.

Katanya Umno tidak akan mempolitikkan isu tersebut kerana ia berkaitan dengan agama dan akidah umat Islam.

"Pendirian kerajaan juga adalah pendirian parti dan kita tidak pernah gunakannya untuk kepentingan politik. Isu kalimah Allah berhubungkait dengan akidah umat Islam...kita tidak kompromi dalam soal ini.

"Kalau ada pun kenyataan daripada pemimpin Umno mengenai soal ini, adalah untuk menunjukkan bahawa kita prihatin dan bukannya untuk mendapatkan kepentingan politik.

"Kita hendak memastikan tidak timbul buruk sangka yang boleh membangkitkan perasaan dan keadaan tidak baik antara agama dalam negara kita," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain