suria

Dua 'Ah Long' Didakwa Jalankan Aktiviti Pinjaman Haram

PULAU PINANG: Dua 'Ah Long' mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Balik Pulau di sini hari ini atas tuduhan menjalankan aktiviti perniagaan pinjaman wang secara haram tahun lepas.

Tan Boon Hoi, 43, dan Luo Lian Pin, 36, didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 1.50 petang di No.30, Lorong Kenari 10, Bayan Lepas, di sini, 17 Julai tahun lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 5 (2) Akta Peminjam Wang 1951 iaitu menjalankan perniagaan pemberi pinjam wang tanpa lesen yang sah.

Jika sabit kesalahan, tertuduh, yang tidak diwakili peguam, boleh dikenakan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tempoh lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Majistret Norhayati Johar membenarkan setiap tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Januari ini untuk sebutan semula kes.

Tertuduh juga diperintah melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan. Pendakwaan dijalankan oleh Inspektor Mohd Azlan Che Aziz.

Terdahulu itu, dalam kes berasingan, seorang penjual minuman, Nurul Azwan Mohd Noor, 25, mengaku tidak bersalah atas dakwaan mencabul kehormatan seorang wanita berusia 22 tahun Sabtu lepas.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah taman rekreasi berhampiran Queensbay Mall di Bayan Lepas di sini pada pukul 1.50 pagi, 2 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau manamana kedua daripadanya.

Nurul Azwan, yang tidak diwakili peguam, juga menghadapi satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengambil dadah jenis ketamin selepas ujian air kencingnya didapati positif pada 3 Januari lalu.

Norhayati menetapkan 27 Januari ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan pertama dan RM2,000 bagi pertuduhan kedua. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain