suria

Biar Mahkamah Selesai Isu Kalimah Allah: Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata semua pihak perlu menyerahkan kepada mahkamah bagi menyelesaikan isu berhubung penggunaan kalimah Allah.

"Kita perlu mengambil sikap bahawa perkara ini perlu diselesaikan melalui mahkamah secara baik..kita sepatutnya tidak menaikkan tahap ketegangan di negara ini.

"Tapi walau apa pun, pihak berkuasa sentiasa bersedia dan saya berharap jika ada orang yang mahu menunjuk perasaan, ia tidak akan merebak sehingga menjadi sesuatu yang amat serius... moga-moga ia hanya tunjuk perasaan yang minimum," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Klinik 1Malaysia di Kerinchi, Lembah Pantai di sini.

Najib diminta mengulas khabar angin bahawa akan ada tunjuk perasaan meluas esok selepas solat Jumaat terhadap penggunaan kalimah Allah oleh majalah mingguan Katolik, Herald.

Menjawab soalan lain, Najib berkata, kerajaan tidak akan menghalang para penunjuk perasaan jika mereka mahu berhimpun di sekitar kawasan masjid selagi ia di dalam lingkungan batas kawasan itu.

Perdana Menteri berkata, jika perkara itu terlepas dari kawalan, ia terpulang kepada pihak berkuasa berkaitan untuk mengambil langkahlangkah sewajarnya bagi meredakan suasana.

"Apapun langkah berjaga-jaga yang perlu kita ambil, kita akan lakukan, katanya.

Hakim Datuk Lau Bee Lan, dalam keputusan lisannya pada 31 Disember, menegaskan bahawa Herald mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan kalimah itu dalam majalah berkenaan.

Bagaimanapun, semalam, hakim yang sama membenarkan penangguhan pelaksanaan perintah itu berikutan persetujuan Kementerian Dalam negeri dan Ketua Paderi Roman Katolik Malaysia berdasarkan kepada kepentingan negara.

Najib juga ditanya pandangannya berhubung desakan beberapa kumpulan tertentu supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi mengukuhkan kedudukan Islam di negara ini.

"Nanti dululah...Saya tak nak buat apa-apa lagi...Biarlah perkara ini ditentukan oleh mahkamah dulu dan kita cari satu penyelesaian yang terbaik," katanya.

Beliau juga berkata bahawa Kabinet tidak membuat sebarang pendirian berhubung perkara itu semalam.

Najib juga diminta mengulas kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa perkara itu tidak boleh diselesaikan di mahkamah.

"Memang terdapat pelbagai pandangan...satu ialah rayuan telah dibuat di mahkamah, tapi, pada masa yang sama, ia memerlukan kita untuk berdialog dengan pelbagai kumpulan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang merancang untuk mengadakan tunjuk perasaan berhubung isu itu supaya memastikan mendapat permit daripada pihak berkuasa selain mematuhi undang-undang.

"Ia perlu mengikut peraturan. Bagaimanapun, ia (tunjuk perasaan) tertakluk kepada kebenaran pihak berkuasa berkaitan.

"Tunjuk perasaan itu tidak boleh mengancam keselamatan orang ramai. Ia tidak boleh lari dari undang-undang negara ini dan ia perlu dilaksanakan dalam lingkungan had undang-undang," katanya.

Beliau diminta mengulas rancangan beberapa NGO bagi mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah penggunaan kalimah Allah oleh majalah mingguan Katolik, Herald.

Adalah dilaporkan bahawa Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) merancang mengadakan tunjuk perasaan di seluruh negara esok.

Persatuan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) juga merancang untuk mengadakan tunjuk perasaan berhubung perkara yang sama di Masjid Negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain