suria

Bayi Lelaki Ditemui Dalam Kotak Di Kebun Sayur

KUANTAN: Seorang bayi lelaki seberat tiga kilogram yang baru lahir ditemui dalam sebuah kotak yang ditinggalkan di kebun sayur Blue Valley di Cameron Highlands, dua hari lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Sisatan Jenayah Negeri Pahang, Supritendan Nordin Mustapha berkata, Balai Polis Kampung Raja di kawasan berhampiran menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan bayi itu pada jam 4 petang.

Beliau berkata, bayi lelaki yang masih bertali pusat itu ditemui menangis di dalam kotak yang beralaskan kain.

"Polis kemudian membawa bayi itu ke Hospital Cameron Highlands bagi mendapatkan rawatan, dan bayi itu disahkan sihat, laporan polis mengenainya dibuat semalam," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Nordin berkata, polis sedang menjejaki ibu bapa bayi berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi.

Beliau seterusnya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai bayi itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Daerah (IPD) Cameron Highlands dengan menelefon 05-4912080 atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain