suria

Tiga Premis Diserbu, 16 Pelacur Ditahan

KUALA LUMPUR: Tiga rumah tumpangan diserbu sepasukan polis Cawangan Anti Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7) kerana menjalankan aktiviti pelacuran di Jalan Thambipillay, Brickfields di sini malam tadi.

Pegawai Turus (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur DSP Razali Abu Samah berkata ketiga-tiga rumah tumpangan yang juga merupakan rumah kedai dua tingkat, diserbu serentak dalam operasi yang bermula pada pukul 8 malam itu.

"Hasil serbuan, polis menahan 16 wanita yang merupakan pelacur, tiga lelaki yang disyaki penjaga premis terbabit dan lapan lelaki yang merupakan pelanggan," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini semalam.

Beliau berkata 13 daripada pelacur yang ditahan itu adalah warga tempatan manakala tiga lagi merupakan rakyat Indonesia. Kesemua pelacur yang ditahan itu berumur dalam lingkungan 24 hingga 34 tahun manakala penjaga premis itu berumur lingkungan 30an.

"Pelanggan yang ditahan pula terdiri daripada warga tempatan yang berumur lingkungan 27 hingga 55 tahun.

Razali berkata sejak bulan lepas sebanyak 38 serbuan telah dilakukan di sekitar ibu negara, termasuk serbuan kali ini. Beliau berkata polis menyarankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana premis yang didapati menjalankan kegiatan tidak bermoral itu.

"Kita mencadangkan supaya pemilik premis yang menjalankan aktiviti pelacuran dikenakan tindakan tegas supaya kegiatan ini dapat dibasmi habis-habisan. Namun keputusan terpulang kepada pihak berkuasa tempatan," katanya. BERNAMA

Artikel Lain