suria

Tiada Pemilihan Baru MCA Bulan ini

KUALA LUMPUR: Tiada pemilihan baru MCA akan diadakan pada bulan ini berikutan hanya 13 ahli Jawatankuasa Pusat (CC) telah menyerahkan surat peletakan jawatan mereka sehingga kini.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, lapan lagi ahli CC perlu meletakkan jawatan mereka bagi membolehkan pemilihan baru parti itu diadakan.

Dr. Chua yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Pemilihan berkata, satu pemilihan baru perlu diadakan dalam tempoh 30 hari sekiranya 21 daripada 31 anggota CC yang dilantik melepaskan jawatan masing-masing.

"Mungkin pemilihan berkenaan diadakan pada Februari atau Mac.

"Saya yakin lebih banyak anggota CC akan melepaskan jawatan masing-masing, terutama selepas sambutan Tahun Baru Cina," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas jawatankuasa itu di Wisma MCA di sini semalam.

Pada 15 Disember lalu, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan 12 lagi pemimpin parti telah menghantar surat meletak jawatan sebagai anggota CC yang tidak bertarikh kepada Setiausaha Agung parti itu, Datuk Wong Foon Meng.

Antara yang telah menghantar surat bersama Liow ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Wee Jeck Seng; Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Hou Kok Chung; anggota veteran CC, Datuk Wong Mook Leong dan Naib Presiden, Tan Kok Hong.

Beberapa anggota biasa CC turut menghantar surat tanpa tarikh iaitu Lee Wei Kiat, Datuk Yu Chok Tow, Wong Nai Chee, Senator Datuk Yeow Chai Thiam, Datuk Hoh Khai Mun, Datuk Liew Yuen Keong, Datuk Edward Khoo Keok Hai dan Senator Datuk Alex Wong Siong Hwee.

Ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat itu, Liow berkata beliau kecewa kerana anggota CC lain tidak menunjukkan komitmen dan kesungguhan masing-masing bagi menyelesaikan masalah yang melanda parti itu.

"Saya kecewa. Oleh kerana kami telah membuat keputusan untuk mengadakan pemilihan baru, tak ada sebab untuk berfikir mengenainya terlalu lama," katanya.

Beliau menegaskan bahawa pemilihan semula perlu diadakan dengan secepat mungkin bagi mengelak timbul rasa kecewa dalam kalangan para pemimpin peringkat akar umbi, anggota perwakilan dan masyarakat Cina yang mengikuti dengan teliti kemelut yang membelenggu parti itu sejak sekian lama.

Liow berkata beliau tidak berhasrat mencari alternatif bagi membolehkan pemilihan baru diadakan dan akan terus berusaha untuk menarik lebih banyak anggota CC meletak jawatan memandangkan kebanyakan mereka telah menyatakan persetujuan untuk berbuat demikian. -BERNAMA

Artikel Lain