suria

Suspek Utama Kes Bunuh Empat Sekeluarga Ditahan

KUALA LUMPUR: Suspek utama kes pembunuhan empat sekeluarga di dua buah rumah yang terletak bersebelahan di Kampung Batang Rokan, Gemencheh semalam, ditahan polis di ibu negara hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan berhampiran Jalan Masjid India kira-kira pukul 5 petang tadi oleh sepasukan anggota polis.

"Polis turut menemui sebilah pisau bersama mangsa, bagaimanapun kita masih menyiasat sama ada pisau tersebut digunakan untuk membunuh mangsa atau sebaliknya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang semalam, mangsa, Atan Daud, 90, yang merupakan bekas imam masjid kampung berkenaan, isterinya Sutiah Katas, 80, menantu pasangan itu, Ismail Awang, 76, dan cucu mereka Siti Khadijah Ismail, 22, dibunuh dengan kejam dan mayat mereka ditemui berlumuran darah di dua buah rumah yang terletak bersebelahan.

Mayat Atan, Sutiah dan Ismail ditemui oleh adik Siti Khadijah yang baru pulang dari sekolah dalam keadaan terbaring di ruang tamu dalam rumah bekas imam itu manakala mayat Siti Khadijah ditemui di ruang tamu rumah bersebelahan.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh berkata suspek merupakan cucu kepada Atan dan abang kepada Siti Khadijah, yang melarikan diri selepas kejadian itu.

"Difahamkan suspek tinggal di Kuala Lumpur tetapi kita tidak tahu di kawasan mana. Hasil maklumat daripada penduduk, polis menemui motosikal suspek kira-kira pukul 2 pagi tadi berhampiran Balai Bomba Tampin," katanya.

Osman berkata suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan beliau telah mengarahkan anggotanya untuk membawa balik suspek ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan.

Artikel Lain