Rosmah Dapatkan Bantuan Isteri Presiden Mesir Bagi Bebaskan Seorang Pelajar Malaysia - Semasa | mStar

Rosmah Dapatkan Bantuan Isteri Presiden Mesir Bagi Bebaskan Seorang Pelajar Malaysia

KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, akan mendapatkan bantuan isteri Presiden Mesir, Suzanne Mubarak, bagi membebaskan seorang rakyat Malaysia yang terbabit dalam kejadian konvoi Viva Paestina, yang ditahan pihak berkuasa negara itu, semalam.

"Saya dijadualkan bercakap dengan Madamme Suzanne menerusi telefon secara peribadi pada pukul 6 petang ini," katanya kepada pemberita selepas melawat pesakit pemindahan jantung Tan Geek Koon di Institut Jantung Negara (IJN), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kejadian di mana lebih 10 anggota konvoi Viva Palestina cedera, empat daripadanya parah, dan tujuh ditahan polis Mesir dalam kejadian tunjuk perasaan di sini pada 11.40 malam Selasa waktu tempatan.

Yang ditahan termasuk seorang warga Malaysia, Ibrahim Mohd Azmi, pelajar Perubatan Universiti Bristol United Kingdom yang menyertai konvoi itu sebagai sukarelawan dari London 6 Disember lepas.

Rosmah berkata beliau akan berbicara dengan Suzanne "dari sudut kewanitaan, iaitu berkaitan kasih sayang terhadap anak-anak dan juga rasa kasih seorang ibu" walaupun sedar isu itu berkait rapat dengan isu diplomasi antarabangsa.

Rosmah berkata beliau akan berusaha dengan cara yang terbaik bagi mencari jalan penyelesaian mengatasi masalah tersebut.

Rosmah berkata beliau tidak dapat menjanjikan apa-apa, tetapi diharapkan melalui percakapannya dengan Suzanne dapat membantu "jika ada mana-mana bahagian dalam isu terbabit yang boleh dibantu dan dirundingkan."

Rosmah, penaung Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) pada majlis hari ini telah menyampaikan sumbangan bernilai RM50,000 kepada Pengerusi Yayasan IJN Toh Puan Dr Aishah Ong.

Sumbangan itu adalah untuk kerja-kerja penyelidikian melibatkan pemindahan "sel stem." Sementara itu Duta Mesir ke Malaysia Hani Abdel Kader Ahmed Shash memberitahu pemberita bahawa Rosmah telah menghubungi beliau hari ini bagi mendapatkan maklumat mengenai perkembangan terbaru insiden ElArish itu.

"Datin Seri Rosmah juga menyebut bahawa beliau akan menelefon isteri Presiden Mesir Suzanne Mubarak bagi meminta bantuan untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia yang menyertai konvoi itu," katanya kepada pemberita di kedutaan di sini hari ini selepas menerima memorandum daripada anggota gabungan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang menentang penindasan terhadap rakyat Palestin (Complete) berhubung perkara itu.

Seorang ahli politik Britain telah menamakan Rosmah, di samping mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan, atas usaha gigih mereka bagi membantu konvoi bantuan kemanusiaan Viva Palestina untuk sampai ke destinasi di Semenanjung Gaza baru-baru ini.

Ahmed Shash berkata Wisma Putra juga telah menghubungi kedutaan dan "saya telahpun memanjangkan mesej itu kepada Kementerian Hal Ehwal Luar kami."

Sementara itu, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata kementeriannya telah menerima maklumat mengenai penahanan pelajar Malaysia yang dilaporkan menyertai konvoi kemanusiaan antarabangsa di ElArish, Mesir.

"Kementerian telah mengarahkan kedutaannya di Kaherah untuk mengesahkan maklumat itu dan begitu juga bagi mengesan pelajar dan menghulurkan bantuan konsulat jika perlu," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, Ahmed Shash ketika ditanya mengenai memorandum dua muka daripada Complete yang mengandungi 30 NGO bagi mendesak kerajaan Mesir untuk segera membebaskan anggota konvoi Viva Palestina selain meminta kerajaan itu untuk memastikan segera keselamatan dan laluan bebas insiden kepada konvoi itu ke Gaza, berkata beliau akan memanjangkan memorandum itu kepada kerajaan Mesir.

"Saya berjanji bahawa kami akan mencuba sedaya upaya bagi membebaskan pasukan konvoi yang telah silap ditangkap. Jika ada salah faham, kami akan menulis surat kepada kerajaan Mesir bagi menyelesaikan masalah itu," katanya.

Ahmed Shash juga menafikan laporan media bahawa kenderaan konvoi tidak dibenarkan menyeberang sempadan Gaza oleh kerajaan Mesir, yang enggan membenarkan mereka menggunakan Pelabuhan Nuweiba untuk masuk ke Rafah sebelum meneruskan perjalanan ke Gaza.

"Laporan itu tidak benar dan hanya kenderaan yang melebihi daripada empat tan tidak dibenarkan masuk (pelabuhan) berdasarkan kepada aspek keselamatan," katanya sambil menambah bahawa "saya memberi jaminan kepada anda bahawa majoriti kenderaan itu kini berada di Gaza, sudah berada di Gaza.

"Hanya beberapa buah kenderaan yang sangat berat seperti melebihi beberapa tan tapi kami berharap dapat menyelesaikannya secepat mungkin," katanya.

Protes pada Selasa itu dilaporkan dibuat oleh para anggota konvoi Viva Palestina berhubung keputusan kerajaan Mesir menghalang 59 kenderaan konvoi untuk ke Gaza.

Polis Mesir dikatakan bertindak keras terhadap anggota konvoi tiga jam selepas protes itu dibuat di pintu masuk dan pintu keluar keselamatan di pelabuhan.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Eksekutif Complete Azra Banu berkata pertubuhan itu berharap keselamatan anggota konvoi termasuk rakyat Malaysia, akan diberi perhatian oleh kerajaan Mesir dan berharap bantuan kemanusiaan seperti makanan, perubatan dan peralatan sekolah yang bernilai lebih daripada US$1 juta kepada rakyat Palestin di Gaza akan sampai ke tangan mereka dengan selamat dan bagi konvoi itu pulang ke negara mereka dengan selamat.

Konvoi Viva Palestina itu disertai 450 orang daripada pelbagai negara dengan 220 kenderaan dalam misi menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza.

Misi itu bermula di London pada 9 Disember tahun lepas dan bergerak melalui pelbagai tempat di Turki, Syria, Jordan dan sepatutnya tiba di Gaza pada 27 Disember tetapi telah dihalang oleh kerajaan Mesir yang enggan membenarkan penggunaan pelabuhan Nuweiba untuk masuk ke Rafah sebelum tiba di Gaza. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Rumah Ahli Perniagaan Dibaling Bom

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

default image

Ketuhar Panasonic Big Cubie memang power! Memasak kini lebih mudah, hidangan lebih sihat dan lazat

ANDA mahu memasak hidangan dalam waktu singkat? Panasonic Big Cubie boleh membantu.

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Artikel Lain

Meghan Markle hamil anak ke-2?