suria

Polis Temui Motosikal Suspek Kes Bunuh Empat Sekeluarga

SEREMBAN: Polis yakin dapat mengesan suspek utama kes pembunuhan sepasang warga emas serta menantu dan cucu mereka selepas menemui sebuah motosikal milik lelaki itu di Tampin awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP Mohd Zaki Masroh berkata motosikal jenis Suzuki bernombor plet BAY 2805 itu dijumpai ditinggalkan di hentian bas berhampiran Balai Bomba Tampin.

"Motosikal milik lelaki yang juga anggota keluarga berkenaan dijumpai pada pukul 2 pagi tadi. Saya meminta sesiapa yang yang mempunyai maklumat mengenai lelaki berusia 34 tahun itu supaya menghubungi mana-mana balai polis dengan segera," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam kejadian semalam, bekas imam Masjid Batang Rokan, Atan Daud, 90, dan isterinya Safiah Katas, 80, menantu mereka, Ismail Awang, 76, dan cucu Siti Khadijah Ismail, 22, ditemui mati berlumuran darah di dua buah rumah yang terletak bersebelahan di kampung berkenaan.

Mohd Zaki berkata suspek dilihat menunggang motosikal dari rumahnya di Kampung Batang Rokan petang semalam.

Katanya polis sedang menyiasat semua kemungkinan, termasuk perselisihan faham, sebagai motif pembunuhan.

Seorang anggota keluarga yang enggan dikenali berkata suspek pernah bekerja di sebuah bank dan selepas itu selalu menukar kerja.

"Kami tahu dia ada masalah kesihatan," katanya.

Jenazah keempat-empat mangsa itu dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Batang Rokan hari ini. - BERNAMA

Artikel Lain