suria

Perompak Ambil Dua Minit Larikan Barang Kemas Bernilai RM300,000

KUALA LUMPUR: Dalam tempoh tidak sampai dua minit, seorang lelaki tempatan yang tidak bertopeng dengan bersahaja melarikan lima dulang barang kemas bernilai RM300,000 dalam satu rompakan di sebuah kedai emas di pusat membeli belah terkenal di Damansara di sini hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Selangor ACP Omar Mammah berkata dalam kejadian kira-kira pukul 1.40 tengah hari itu, suspek berumur 30an memasuki premis itu dengan lagak sebagai pembeli ketika terdapat dua orang pekerja dan seorang pelanggan semasa kejadian.

"Suspek kemudian pergi ke satu bahagian dalam kedai itu dan berpurapura bertanyakan harga barang kemas sebelum dengan tibatiba mengeluarkan sepucuk pistol lalu diacukan kepada seorang pekerja premis itu.

"Suspek kemudian mencampak sebuah beg kepada pekerja terbabit supaya mengisi barang kemas yang berada di dalam rak menyimpan pelbagai jenis barang kemas," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata pekerja itu kemudian mengisikan barang kemas daripada lima dulang sambil suspek mengacukan pistol ke arah mangsa sebelum hilang di khalayak orang ramai yang tidak menyedari premis itu dirompak.

Katanya premis itu tidak merekrut sebarang pengawal keselamatan dan satusatunya pelanggan yang berada di dalam premis itu telah melarikan diri sebaik sahaja suspek mengacukan pistol ke arah pekerja terbabit.

Omar berkata berikutan kejadian itu polis sedang meneliti rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTC) yang dipasang di premis itu bagi mengecam suspek.

Orang awam yang melihat kejadian itu diminta tampil ke hadapan bagi membantu siasatan, katanya. BERNAMA

Artikel Lain