suria

Najib Mahu Belia Terapkan Komitmen Tinggi Untuk Capai Kejayaan

KUALA LUMPUR: Golongan belia di negara ini digesa agar terus menerapkan komitmen tinggi untuk mencapai bukan sahaja kejayaan diri, tetapi juga mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata usaha berterusan juga perlu untuk menyuntik para belia dengan semangat dan keberanian dalam menghadapi cabaran serta mencapai kejayaan yang lebih tinggi.

Justeru, katanya, kerajaan akan terus menyokong gerakan belia dalam melahirkan generasi belia yang lebih berjaya.

"Saya senang hati melihat gerakan belia dan kerajaan tidak boleh dipisahkan. Ia merupakan rakan setia, rakan kongsi samasama dalam perjuangan untuk membina generasi belia yang menpunyai jati diri yang kukuh.

"Kerajaan hari ini akan tetap menyokong dan membantu perjuangan saudara saudari untuk kejayaan belia masa depan," katanya pada majlis makan malam pelancaran Pertubuhan Alumni Majlis Belia Negara (MBM) dan perasmian Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan MBM ke58 di sini, malam ini.

Najib berkata walaupun belia seringkali dikatakan sebagai aset negara, namun ia tidak akan membawa makna jika tidak dapat diterjemahkan dalam bentuk penghayatan yang membawa kepada perubahan diri walaupun negara menyediakan prasarana, sistem dan peluang terbaik untuk mereka.

"Segala-galanya bergantung kepada keberanian kita. Keberanian untuk berubah, keberanian untuk mencari dan untuk berusaha. Ini mesti kita kukuhkan dan terapkan di kalangan belia," katanya.

Perdana Menteri yang turut melahirkan rasa puas hati dengan penubuhan Alumni MBM, berkata beliau percaya alumni sedemikian masih relevan dan berharap ia dapat terus menyumbang kepada pembangunan belia negara ini, walaupun pada dasarnya pemimpin dan ahli yang akan menyertai alumni ini telah melepasi had umur 40 tahun.

Pada majlis itu, Najib turut menerima Anugerah Khas MBM.

Turut hadir ialah isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek serta pemimpin-pemimpin baru dan lama MBM. - BERNAMA

Artikel Lain