suria

Mahkamah Tinggi Tangguh Pelaksanaan Guna Kalimah Allah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan penangguhan perintah yang dikeluarkan sebelum ini bagi membenarkan penggunaan kalimah "Allah" oleh majalah mingguan Katolik, Herald, berikutan persetujuan Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Paderi Roman Katolik Malaysia berdasarkan kepada kepentingan negara.

Hakim Datuk Lau Bee Lan, yang mengeluarkan perintah sebelum ini pada 31 Disember tahun lepas, membuat keputusan itu di dalam kamar hari ini selepas pertemuan dengan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan peguam Derek J.Fernandez bagi Ketua Paderi Tan Sri Murphy Pakiam selama 30 minit.

Fernandez memberitahu pemberita bahawa Lau bersetuju untuk merekodkan penangguhan itu atas persetujuan.

Abdul Gani bersyukur kerana ada perjanian bagi penangguhan itu.

"Bagi saya, ia melibatkan kepentingan negara, tiada keperluan untuk terbabit dalam hujah untuk penangguhan," katanya.

"Saya amat bersyukur dengan rakan saya yang bijaksana yang telah bersetuju untuk penangguhan dan kami akan cuba agar perkara ini didengar secepat mungkin dalam Mahkamah Rayuan, saya percaya ia akan diadakan secepat mungkin," katanya.

Pada Selasa, Kementerian Dalam Negeri memfailkan permohonan untuk penangguhan perintah mahkamah sebelum ini selepas mengemukakan rayuan dengan Mahkamah Rayuan sehari sebelum itu.

Abdul Gani berkata proses segera itu tidak sepatutnya disalahtafsirkan kerana isu itu perlu diselesaikan secepat mungkin.

"Saya perlu menyatakannya sekali lagi, tidak perlu ada sebarang persepsi berhubung perkara ini memandangkan adalah lebih baik perkara ini didengar dengan segera. Ia tidak bermakna ada sesuatu yang tidak kena, jangan biar persepsi seperti ini.

"Apa yang penting ialah supaya perkara ini diselesaikan secepat mungkin. Kita semua perlu menghormati keputusan mahkamah," katanya.

Ketika ditanya jika terdapat tekanan dalam kes ini, beliau menjawab:" Anda tidak boleh kata ada tekanan dalam kes ini memandangkan terdapat tekanan dalam semua kes. Saya tidak mahu memberikan sebarang persepsi sekarang, biar perkara itu selesai."

Peguam Fernandez berkata pihaknya bersetuju dengan permintaan Peguam Negara untuk penangguhan berikutan kepentingan kepentingan negara sebelum tindakan selanjutnya di Mahkamah Rayuan.

"Kami bimbang dengan pelanggaran peraturan sub judis oleh banyak pihak yang tidak menghormati mahkamah. Tan Sri memberi jaminan kepada kami beliau akan meneliti perkara itu," katanya.

Pada 31 Disember, Hakim Lau memutuskan bahawa lanjutan kepada Artikel 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan, Herald mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan kalimah itu daripada segi ajaran dan pendidikan kepada penganut agama Kristian.

Katanya lanjutan daripada Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan, adalah satu kesalahan bagi bukan Islam menggunakan kalimah "Allah" kepada orang Islam untuk menyebarluaskan agama tetapi ia bukan satu kesalahan bagi bukan Islam menggunakan kalimah itu kepada bukan Islam bagi tujuan agama.

Pada 16 Februari, Murphy Pakiam memfailkan semakan kehakiman berhubung penggunaan perkataan "Allah" dalam penerbitan gereja, dengan menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden.

Beliau mendakwa perkataan 'Allah' bukanlah eksklusif kepada agama Islam.

Majalah itu, yang dicetak dalam empat bahasa, telah menggunakan kalimah "Allah" sebagai terjemahan untuk "God" dalam seksyen bahasa Melayu.

Kalimah 'Allah' digunakan dengan meluas di kalangan penduduk asli Kristian di Sabah dan Sarawak, kebanyakannya bertutur dalam Bahasa Malaysia.

Kementerian Dalam Negeri telah mewajarkan larangan itu atas alasan keselamatan negara dan bagi mengelak salah faham serta kekeliruan dalam kalangan umat Islam. -BERNAMA

Artikel Lain