suria

Empat Beranak Dibunuh Kejam

GEMENCHEH: Empat beranak dibunuh dengan kejam dan mayat mereka ditemui berlumuran darah di dua rumah yang terletak bersebelahan di Kampung Batang Rokan, kira-kira enam kilometer dari sini, Selasa.

Mereka ialah imam masjid kampung berkenaan, Atan Daud, 90, isterinya Sutiah Katas, 80, menantu pasangan itu, Ismail Awang, 76, dan cucu mereka Siti Khatijah Ismail, 22.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh berkata mayat keempat-empat mereka ditemui pada kira-kira pukul 3.30 petang oleh adik Siti Khatijah yang baru pulang dari sekolah.

"Tiga mayat ditemui dalam keadaan terbaring di ruang tamu dalam rumah imam itu manakala mayat Siti Khadijah ditemui di ruang tamu rumah bersebelahan.

"Mayat Ismail Awang ditemui dalam keadaan putus kepala sementara anaknya Siti Khadijah ditemui dengan pisau masih terpacak di dada manakala Atan dan Sutiah ditemui dengan kesan tetakan pada tangan, seolah-olah mempertahankan diri dari serangan," katanya pada sidang akhbar di sini.

Beliau berkata polis menemui senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu di sekitar kawasan rumah terbabit.

"Polis percaya serangan itu berlaku pada sebelah pagi dan kami akan berusaha memastikan mereka mendapat pembelaan. Ini perbuatan kejam yang berlaku dalam sebuah keluarga," katanya.

Osman berkata polis kini mencari cucu lelaki imam itu yang dikenali sebagai Rashidi Ismail, 34, dengan nombor kad pengenalan 760315-05-5025 bagi membantu siasatan.

Lelaki itu didapati hilang bersama motosikal Suzuki berwarna biru bernombor plat BAY 2805, katanya. BERNAMA

Artikel Lain