suria

UPP Rampas 240 Kilogram Gula Bersubsidi Yang Cuba Diseludup

PADANG BESAR: Meskipun harga gula meningkat 20 sen mulai awal tahun ini namun kegiatan penyeludupannya ke negara Thailand masih berlaku dengan kes terbaru membabitkan rampasan 240 kilogram gula bersubsidi di Wang Kelian dekat sini hari ini.

Komander Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Perlis, DSP Zakaria Abdul Rahman berkata rampasan dilakukan pukul 11.45 pagi berhampiran pintu sempadan di Wang Kelian.

Beliau berkata rampasan itu dilakukan oleh sepasukan anggota UPP yang melakukan pemantauan di kawasan berkenaan dan menemui sebuah pikap yang berdaftar di Thailand dalam keadaan mencurigakan.

Katanya hasil pemeriksaan ke atas kenderaan yang diletakkan di pinggir jalan itu, UPP menemui 10 bungkusan gula bersubsidi seberat 240 kilogram di dalam kenderaan berkenaan selain 10 kotak tepung gandum seberat 100 kilogram dan 48 tin susu pekat.

Zakaria berkata UPP turut merampas kenderaan yang dianggarkan bernilai RM20,000 yang digunakan dalam cubaan menyeludup, dan kes itu dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tindakan lanjut.

Di Thailand gula dijual pada harga RM2.25 sekilogram berbanding gula bersubsidi di Malaysia RM1.65 sekilogram. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain