suria

Ragut: Pencuri Mati Ditembak Pengawal Keselamatan

PETALING JAYA: Kejadian ragut rantai emas dari sebuah kedai emas di sebuah pusat beli-belah di sini, semalam berakhir dengan tragedi apabila peragut terbabit ditembak mati oleh pengawal keselamatan kedai itu.

Lelaki berumur 29 tahun itu yang cuba melarikan diri melalui pintu kecemasan kebakaran telah ditembak di leher dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mammah berkata, pencuri itu masuk ke kedai emas itu kira-kira jam 4 petang dengan berpura-pura mahu membeli barangan kemas.

"Dia telah melihat beberapa barangan kemas sehingga dia temui satu barangan kemas yang diingininya. Dia tiba-tiba meragut barangan kemas itu dan melarikan diri," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di pusat beli-belah Sunway Pyramid di sini hari ini.

Menyedari kejadian itu katanya, pengawal keselamatan berumur 20 tahun itu mengejar suspek dan disusuli dengan pergelutan. Semasa pergelutan, suspek cuba merampas senapang .38 calibre daripada pengawal keselamatan itu tetapi gagal.

"Suspek kemudian berlari ke arah pintu kecemasan kebakaran dan ketika itu pengawal keselamatan itu melepaskan tembakan ke arahnya.

"Rantai emas berharga kira kira RM3,000 itu ditemui dalam poket suspek bersama-sama dengan kad pengenalannya," katanya.

Beliau berkata, si mati tidak mempunyai rekod jenayah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain