suria

Penunggang Motosikal Maut Digilis Kereta

PULAU PINANG: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh oleh sebuah kereta dalam satu kes langgar lari di Lebuhraya Bayan Lepas di sini pagi ini.

Pegawai Turus Trafik negeri Deputi Supritendan (DSP) Wari Kiew berkata Wong Boon Seng, 22, yang dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerjanya, mati di tempat kejadian selepas parah akibat dirempuh dan digilis oleh sebuah kereta dalam kejadian pada kira-kira pukul 10 pagi itu.

Beliau berkata Wong sedang menunggang dari arah pusat bandar menghala ke Bayan Lepas untuk ke tempat kerja apabila motosikal yang dinaikinya dikatakan hilang kawalan semasa dia cuba mengelak sebuah lori yang berada di tepi jalan.

Katanya kereta Toyota Camry yang datang dari arah belakang kemudiannya merempuh motosikal itu sebelum menggilis Wong, dan pemandu kereta berkenaan kemudiannya terus memecut kenderaan dan melarikan diri.

"Kami minta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian supaya menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Zulkifli Ahmad dengan menelefon 04-6429622 atau menghubungi mana-mana balai polis bagi membantu siasatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Wari Kiew berkata kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain