suria

Pelajar Kini Boleh Dapatkan Kad Diskaun 50 Peratus KTMB

KUALA LUMPUR: Pelajar tempatan berumur 13 tahun dan ke atas kini boleh mendapatkan kad diskaun 50 peratus Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk perjalanan jarak jauh secara percuma di semua stesen KTMB dan pejabat perkhidmatan antara bandarnya.

Kad diskaun itu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2010 untuk membantu pelajar, mula dikeluarkan KTMB sejak semalam.

"Pengeluaran kad ini tertakluk kepada syarat dan kami berikan hanya untuk tempat duduk kelas kedua dan ekonomi sahaja," kata Pengurus Pemasaran Unit Perniagaan Strategik Perkhidmatan Antarabandar KTMB, Mohd Noordin Kimi.

Kad itu layak diperoleh oleh pelajar sama ada mereka di sekolah menengah, institusi pengajian tinggi awam atau swasta, pelajar separuh masa atau pengajian jarak jauh.

"Semua pelajar layak, tidak kira daripada keluarga miskin atau kaya, selagi seseorang itu masih bergelar pelajar tidak kiralah penuntut Master atau Phd, mempunyai kad pelajar dan belajar di dalam Malaysia," katanya.

Bagaimanapun katanya, pelajar dari maktab-maktab perguruan, jururawat, polis, tentera dan juga institut kesihatan perlu membayar harga kad tersebut dengan membayar RM30 setahun.

Kad tersebut juga boleh digunakan semasa musim perayaan apabila ramai orang balik kampung tertakluk kepada syarat tempahan dibuat tidak kurang daripada tujuh hari sebelum perjalanan.

"Mereka tak boleh tempah sebelum 60 hari, tetapi tujuh hari sebelum perjalanan, boleh, kita kena bagi keutamaan bagi penumpang biasa dahulu," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pelajar-pelajar tidak perlu bimbang kerana KTMB sentiasa menambah gerabak keretapi bagi membolehkan mereka juga dapat membeli tiket tersebut pada musim permintaan tinggi.

Menurutnya, kerajaan telah meluluskan RM4 juta setahun kepada KTMB bagi mengimbangi kehilangan hasil pendapatan mereka.

"Sebelum ini, kita ada kad konsesi pelajar yang kita kenakan RM30 setahun, tetapi kita tarik balik perkhidmatan kad tersebut dan sekarang kita beri percuma, maknanya KTMB telah kehilangan hasil di situ," katanya.

Beliau turut mengingatkan kepada orang ramai hanya KTMB sahaja yang mengendalikan pengeluarkan kad ini tidak ada pihak lain yang mengeluarkan kad berkenaan.

Jika kad yang diberikan secara percuma itu hilang, individu tersebut perlu membayar RM10 untuk mendapatkan kad baru sebagai denda.

"Pelajar hanya dibenarkan membeli satu tiket sahaja dengan kad diskaun tersebut dan jika ada orang lain yang menggunakannya, mereka boleh dikenakan penalti RM30 di samping membayar harga tiket perjalanan.

"Kad diskaun ini boleh didapati dalam masa sehari dari pejabat KTMB di KL Sentral dan tiga hari jika diperoleh dari cawangan lain," katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai kad tersebut, pelajar boleh menghubungi KTMB di talian 03-22798852 ataupun mengunjungi laman web www.ktmb.com.my. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain