suria

Nama Pengganti Sulaiman Diserah Pada Najib

KUCHING: Nama pengganti Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib sebagai seorang timbalan menteri dalam Kerajaan Pusat telah diserahkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak oleh Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, kata Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, Datuk Daud Abdul Rahman.

"Sebelum beliau bercuti, Ketua Menteri telah menghantar nama kepada Perdana Menteri. Jawatan tersebut sememangnya untuk PBB dan saya harap tiada lagi spekulasi selepas ini," katanya kepada pemberita selepas penyerahan bantuan Tabung Baitulmal Sarawak di sini hari ini.

Daud, yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri berkata, kuota untuk jawatan Timbalan Menteri tersebut adalah untuk wakil daripada PBB, dan terpulang kepada Najib untuk menentukan siapa yang akan mengganti Sulaiman yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Menteri Pelancongan.

Sulaiman, 41, yang juga Naib Ketua Pemuda PBB, dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan pada 19 Mac 2008 semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi memegang jawatan Perdana Menteri, dan apabila Najib mengambil alih jawatan Perdana Menteri April tahun lepas, Sulaiman dikekalkan.

Beliau bagaimanapun meletak jawatan barubaru ini kerana masalah kesihatan. Minggu lepas Najib berkata, anak kelahiran Sarawak akan mengisi kekosongan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain