suria

MAIWP, MAIDAM Rayu Celah Kes Kalimah Allah

Mohd Zulkhairi memfailkan notis-notis rayuan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang tadi. -Foto THE STAR oleh GLENN GUAN
Mohd Zulkhairi memfailkan notis-notis rayuan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang tadi. -Foto THE STAR oleh GLENN GUAN
Mohd Zulkhairi memfailkan notis-notis rayuan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang tadi. -Foto THE STAR oleh GLENN GUAN

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) hari ini memfailkan dua notis rayuan untuk menyemak keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada 31 Disember 2009.

Hakim Datuk Lau Bee Lan pada tarikh tersebut menolak permohonan kedua-dua majlis agama itu untuk mencelah dan ditambah sebagai responden dalam prosiding semakan kehakiman menurut Aturan 53 Kaedah 8 (1) Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980.

Peguamcara untuk MAIWP dan MAIDAM, Mohd Zulkhairi Ab Aziz berkata, pihak majlis agama berhasrat untuk menjadi pihak dalam prosiding itu bagi menyokong keputusan Menteri Dalam Negeri yang tidak membenarkan penggunaan nama Allah di peringkat Mahkamah Tinggi.

"Kami bersedia menjadi sebahagian pihak yang menyokong kerajaan," katanya ketika ditemui di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini.

Semalam, Kementerian Dalam Negeri mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan majalah Herald menggunakan kalimah Allah untuk tujuan tunjuk ajar dan pendidikan bagi penganut agama Kristian.

Pada 31 Disember lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lau Bee Lan memutuskan demikian berdasarkan Perkara 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan.

Hari ini, Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) menetapkan esok untuk mendengar permohonan Kementerian Dalam Negeri bagi penangguhan perintah mahkamah yang membenarkan sebuah majalah minggu Katholik, Herald menggunakaan perkataan Allah.

Pada 16 Februari lepas, Ketua Paderi Roman Katholik Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit majalah itu, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan "Allah" dalam majalah itu adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.

Mohd Zulkhair memberitahu, MAIWP dan MAIDAM memfailkan notis-notis rayuan tersebut bertujuan untuk memastikan Enakmen Kawalan dan Pengembangan Agama Bukan Islam dipatuhi dan dihormati.

Katanya, enakmen itu antara lain melarang penggunaan beberapa kalimah suci agama Islam untuk digunakan oleh bukan umat Islam.

"Kita ingin mempertahankan apa yang sedia ada dalam Enakmen dan hak-hak agama Islam sebagai agama rasmi dalam perlembagaan," katanya.

Sementara itu, Mohd Zulkhair memberitahu, mereka telah membuat bantahan awal di peringkat Mahkamah Tinggi atas sebab permohonan The Herald itu adalah sesuatu yang tidak boleh diadili oleh mana-mana mahkamah sebab ia menyentuh kuasa-kuasa Sultan dan Yang Di-Pertuan Agong.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain