suria

Kerani Didakwa Cuba Rogol, Cederakan Inspektor Polis

KLANG: Seorang kerani dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan cuba merogol dan mencederakan seorang inspektor polis yang juga bekas teman wanitanya di sebuah hotel di sini bulan lepas.

Wan Abdul Haniff Wan Abdul Hisham, 30, dari Pelabuhan Klang di sini, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Tertuduh didakwa cuba merogol mangsa yang berusia 28 tahun di sebuah bilik di No: 111, Hotel Royal Comfort, Jalan Meru di sini, kira-kira jam 10 malam 12 Disember lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan tidak kurang 10 kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Wan Abdul Haniff juga didakwa sengaja menyebabkan kecederaan ke atas mangsa di tempat, masa dan tarikh yang sama dan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda maksimum RM2,000 atau keduaduanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian itu mangsa yang baru berkhidmat kira-kira enam bulan sebagai anggota polis mengalami lebam-lebam pada badannya.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Syuhaida Alwi yang mewakili pihak pendakwaan mencadangkan agar tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM15,000 bagi kedua-dua tuduhan.

Wan Abdul Haniff bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan dengan alasan dia perlu menanggung ibu bapa dan adikadik yang masih bersekolah.

Hakim Anita kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM5,000 serta seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 8 Februari depan untuk sebutan dan untuk tertuduh melantik peguam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain