suria

JKR Diminta Kemuka Laporan Kerosakan Dewan Bedah Hospital Setiu

SETIU: Ibarat rumah siap tetapi pahat masih berbunyi, itulah yang terjadi kepada Dewan Bedah Hospital Dearah Setiu apabila ia masih tidak dapat digunakan walaupun hospital yang berharga RM65.8 juta itu sudah siap sejak enam tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Dr Abd Rahman Mokhtar berkata sehubungan itu Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah diarah mengemukakan laporan berhubung masalah itu secepat mungkin bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

Beliau berkata hasil laporan itu nanti akan dibentang dalam mesyuarat kerajaan negeri sebelum sebarang keputusan diambil.

"Tunggu laporan dari JKR dahulu sebelum buat sebarang keputusan, sama ada kerajaan negeri akan bantu mengeluarkan peruntukan untuk membaiki kerosakan di dewan bedah itu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Hospital Dearah Setiu di sini Selasa.

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said semasa menyerahkan peralatan Tomografi Berkomputer Multislice (MSCT) kepada Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini pagi tadi melahirkan rasa kecewa kerana hampir kesemua dewan bedah di hospital di Terengganu mengalami masalah, dan banyak yang tidak dapat digunakan walaupun sudah disiapkan.

Antara masalah yang menyebabkan ia tidak dapat digunakan termasuk kebocoran bumbung dan masalah hama yang mengakibatkan udara di dalam dewan bedah tercemar sekaligus tidak dapat digunakan untuk pembedahan.

Sebelum ini dewan bedah Hospital Daerah Kemaman dan Besut dilaporkan mengalami keadaan tersebut dan mengambil antara empat hingga enam tahun untuk menjalani proses pembaikian semula sebelum ia dapat digunakan sepenuhnya.

Hasil lawatan hari ini Abd Rahman berkata antara masalah yang dikesan di dewan bedah dan hospital itu termasuk kebocoran atap, resapan air bawah tanah, cat yang digunakan tidak berkualiti sehingga mengakibatkan ia menggelupas, dan beberapa lagi pembinaan yang tidak mengikut spesifikasi yang sepatutnya.

Keadaan itu memaksa pesakit yang ingin menjalani pembedahan dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu lebih 50 kilometer dari sini dan Hospital Daerah Besut yang terletak hampir 60 kilometer.

Sebelum ini difahamkan beberapa kerja pembaikan dilakukan dengan melibatkan kos hampir lebih setengah juta, namun masalah yang sama tetap berulang. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain