suria

Ibu Kanak-Kanak Mangsa Bunuh Diberi Jaminan Polis

KUALA LUMPUR: Ibu kepada kanak-kanak perempuan berumur 9 tahun yang ditemui terapung separuh bogel dan leher dijerut dengan sehelai kain dalam Kolam Tadahan Banjir, Kampung Boyan, Lorong Gurney, di sini pada 22 Disember lepas dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, seorang lagi iaitu lelaki dipercayai teman kepada ibu mangsa tersebut dibebaskan dengan jaminan polis pada 31 Disember lepas.

"Abang ipar ibu mangsa akan diberi jaminan hari ini, sementara abang ibu mangsa masih ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

Zakaria berkata, laporan rasmi ujian DNA masih belum diperolehi dan mayat kanak-kanak perempuan itu akan dituntut oleh ibunya pada satu tarikh yang akan ditetapkan.

Mayat itu ditemui oleh tiga pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika sedang membersihkan kolam di Jalan Semarak itu kira-kira jam 11.30 pagi 22 Disember lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain