suria

Elemen Kreativiti, Inovasi Diterap Dalam Kurikulum Sekolah: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Elemen kreativiti, inovasi dan kemahiran hidup akan dimasukkan dalam pengajaran dan pembelajaran di bawah kurikulum baru sekolah yang sedang disemak, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, ini dilakukan melalui transformasi terhadap bidang seperti isi kandungan kurikulum, penyusunan, predagogi dan pendekatan di dalam bilik darjah bagi membolehkan potensi kreativiti dan inovasi pelajar dipupuk dengan efektif.

Beliau berkata, transformasi adalah penting kerana kurikulum merupakan satu daripada perubahan penting bagi keberkesanan sekolah dan laluan kepada kecemerlangan pendidikan.

"Kurikulum berkualiti meningkatkan pengetahuan pelajar dan mampu memupuk daya kompeten mereka. Dengan mengambil kira perkara ini, kurikulum sekolah perlu responsif kepada jangkaan dan permintaan bagi pendidikan berkualiti," katanya semasa merasmikan Persidangan Ke-23 Kongres Antarabangsa untuk Keberkesanan dan Peningkatan Sekolah (ICSEI) 2010, di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, transformasi kurikulum amat baik bagi pewujudan ekonomi berasaskan pengetahuan dan kejayaannya bergantung penuh kepada potensi kreatif dan inovatif modal insan.

"Satu lagi pendekatan penting untuk mencapai kecemerlangan pendidikan ialah meningkatkan kualiti guru, yang boleh dilakukan menerusi program pembangunan profesional berterusan bagi meningkatkan kompetensi, pengetahuan dan kebolehan guru," katanya.

Beliau berkata, guru berkualiti boleh menjadi faktor penentu kepada prestasi sekolah dan pencapaian pelajar dan usaha juga perlu dilakukan untuk menarik lebih ramai golongan berkebolehan untuk menceburi profesion perguruan melalui pembangunan proses pemilihan yang efektif dan dan menawarkan pembangunan kerjaya yang menarik.

"Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam pengajaran dan pembelajaran dipercayai dapat mewujudkan kumpulan besar modal intelektual tinggi dan tenaga kerja kompeten yang mampu memenuhi permintaan ekonomi baru," katanya.

Mengenai persidangan itu, Muhyiddin berkata, acara empat hari bertema "Memperkasakan Pembelajaran di Sekolah: Daripada Penambahbaikan Dasar Kepada Amalan Efektif" adalah relevan dengan permintaan dan jangkaan semasa bagi pendidikan berkualiti.

ICSEI 2010 memberi ruang kepada kira-kira 400 peserta termasuk cendekiawan antarabangsa dan ahli akademik dan guru berkongsi pengalaman, menjana idea dan membincangkan mengenai inovasi serta isu dan cabaran dalam sektor pendidikan.

Kira-kira 200 kertas kerja akan dibentangkan di samping simposium pada persidangan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain