suria

Dua Pegawai APMM Ditahan Di Pusat Hiburan

KUALA TERENGGANU: Dua pegawai Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Balek Bukit di sini setelah ujian air kencing mendapati mereka positif dadah.

Ketua Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu Supt Roslan Abdul Wahid berkata seorang daripada mereka berpangkat leftenan berumur 30 tahun berasal dari Perak, manakala seorang lagi berpangkat koperal, 27, dari Kota Baharu, Kelantan.

"Mereka yang ditahan awal pagi Jumaat lepas dan direman tiga hari, dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu laporan dari Jabatan Kimia," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu polis berjaya melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah apabila menahan tujuh lelaki berusia antara 32 dan 44 tahun dalam serbuan di sebuah rumah kosong di Batu Enam di sini pada pukul 11 pagi Ahad lepas dan merampas 20 tiub straw dadah.

Seorang daripada mereka adalah lelaki yang dikehendaki polis berhubung langkah-langkah pencegahan khas, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain