suria

Draf Pindaan Akta Penjara 1995 Di Peringkat Akhir

KUCHING: Draf pindaan Akta Penjara 1995 untuk membolehkan pertukaran banduan asing di negara ini kini dalam proses akhir sebelum ia dikemukakan kepada Peguam Negara untuk dibentangkan di Parlimen, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop di sini hari ini.

Beliau berkata dengan pindaan itu nanti banduan asing yang disabitkan kesalahan oleh mahkamah di negara ini boleh dipindahkan ke negara asal masing-masing sekaligus mengatasi masalah kesesakan di penjara-penjara negara ini.

"Apabila pindaan tersebut diluluskan kita boleh membuat perjanjian persefahaman dengan negara lain untuk membuat pertukaran banduan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Bulanan bersama Pegawai Kanan Jabatan Penjara Malaysia di Ibu Pejabat Penjara Negeri, Jalan Puncak Borneo di sini.

Katanya, pemindahan/pertukaran tersebut bagaimanapun tidak akan berlaku secara automatik kerana ia akan bergantung pada kerjasama yang diberikan oleh negara banduan yang terbabit.

Menurutnya masih terdapat kira-kira 26 peratus atau 8,454 banduan asing dari 20 negara yang menjalani hukuman di penjara seluruh negara setakat ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain