suria

Bapa Saudara Kanak-Kanak Yang Ditemui Terapung, Orang Terakhir Bersama Mangsa

KUALA LUMPUR: Bapa saudara kepada kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun, yang ditemui terapung separuh bogel dan leher dijerut dengan sehelai kain dalam Kolam Tadahan Banjir, Kampung Boyan, Lorong Gurney, di sini pada 22 Disember lepas, dipercayai orang terakhir bersama mangsa sebelum ditemui mati.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata lelaki berusia 47 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan itu kini ditahan reman sehingga 11 Januari ini, sementara kesemua suspek termasuk ibu kanak-kanak terbabit telah dibebaskan semalam.

Beliau berkata siasatan hampir selesai kerana kesemua suspek dalam kes itu adalah orang yang dikenali dan melibatkan anggota keluarga mangsa.

Selain ibu dan bapa saudara mangsa, polis sebelum ini turut menahan dua individu lain, iaitu kenalan ibu mangsa dan kawan perempuan kepada suspek utama kes ini yang dibebaskan setelah didapati tiada kaitan dengan kes ini, katanya di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau berkata mereka akan dipanggil memberi keterangan jika perlu berbuat demikian.

Zakaria berkata polis kini dalam proses mengemaskini serta melengkapkan kertas siasatan sebelum dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan lanjut dan kertas siasatan kes itu dijangka dapat disiapkan dalam tempoh beberapa hari lagi.

"Kita masih menunggu laporan rasmi bedah siasat menyeluruh dan laporan kimia yang memerlukan pelbagai ujian termasuk ujian gigi dan cap jarinya," katanya.

Beliau juga berkata laporan asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan salah seorang wanita yang ditahan itu adalah ibu kandung kepada mangsa, yang telahpun menuntut mayat anaknya dari Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira 1 tengah hari tadi.

Ibu saudara mangsa yang ingin dikenali sebagai Meena, yang ditemui di bilik mayat HKL, berkata mayat anak saudaranya itu akan dibawa ke Gereja St. Anthony, Jalan Pudu untuk upacara sembahyang, sementara upacara pembakaran dilakukan di pusat pembakaran mayat Jalan 222, Petaling Jaya petang ini.

Meena berkata anak saudaranya itu telah dijaga oleh bapa saudara mangsa, yang merupakan suspek utama kes ini, sejak kecil di Ampang dan bersekolah di situ.

"Semasa cuti sekolah yang lepas, anak saudara saya itu mahu sangat berjumpa ibunya untuk meraikan sambutan Hari Krismas bersama-sama, namun hasrat itu tidak kesampaian bila dia ditemui mati dalam keadaan yang menyayatkan hati," katanya.

Ibu mangsa bagaimanapun enggan ditemubual kerana masih bersedih dengan kematian anaknya itu.

Mayat kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun itu ditemui tiga pekerja pembersihan sampah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sedang membersihkan kolam itu kira-kira 11.30 pagi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain