suria

Wisma Putra Ambil Alih Program Kerjasama Teknikal Malaysia

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar telah mengambil alih Program Kerjasama Teknikal Malaysia (PKTM) dan program kerjasama SelatanSelatan yang lain seperti Third Country Training Programme daripada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri mulai 1 Januari lepas.

PKTM merupakan instrumen dasar luar negara yang berkesan dalam memperkukuhkan komitmen Malaysia terhadap kerjasama Selatan-Selatan. Menerusi PKTM, kerajaan Malaysia telah dapat mempertingkatkan kerjasama teknikal di kalangan negaranegara membangun, dan memperkukuhkan kerjasama serantau.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra semalam, sejak ditubuhkan pada 1980, lebih 20,000 peserta dari 140 negara telah mendapat manfaat menerusi pelbagai kursus yang ditawarkan di bawah PKTM.

PKTM memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan melalui peruntukan pelbagai bidang kursus yang penting bagi pembangunan sesebuah negara seperti pentadbiran awam, perkhidmatan kesihatan, pendidikan, pembangunan mapan, pertanian, pembasmian kemiskinan, promosi pelaburan, ICT dan perbankan.

Menurut kenyataan itu lagi, setiap tahun, lebih 100 kursus jangka pendek ditawarkan kepada peserta dari negara membangun oleh lebih 50 institut latihan PKTM, yang kebanyakan daripadanya merupakan pusat latihan kecemerlangan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain