suria

Suspek Kes Bunuh Wanita Dalam Almari Direman Seminggu

KUALA LUMPUR: Suspek kes pembunuhan seorang wanita yang mayatnya ditemui di dalam almari pakaian di rumahnya di Taman Pinggiran Ukay di sini pada 30 Disember lepas, ditahan reman selama seminggu sehingga 11 Januari ini.

Perintah reman terhadap suami mangsa itu dikeluarkan oleh Pembantu Pendaftar Mahkamah Majistret Ampang, Samsul Aziaudin Ahmad hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supritendan Amiruddin Jamaluddin berkata, suspek berusia 37 tahun itu ditahan polis berhampiran Zoo Negara kira-kira pukul 8.30 malam tadi.

"Semasa ditahan suspek berada dalam keadaan resah dan gelisah serta ditemani beberapa orang dipercayai ahli keluarga suspek," katanya ketika ditemui di sini.

Mayat Fazlina Ahmad, 39, ditemui mati akibat kelemasan selepas mulut dan hidungnya dilekat dengan pita pelekat dan dibungkus dengan selimut dan diletakkan di dalam almari pakaian itu.

Mayat mangsa ditemui oleh sepasukan polis kira-kira jam 9 malam di tingkat dua rumah teres dua tingkat di Taman Pinggiran Ukay di sini selepas menerima laporan daripada rakan mangsa yang mengadu mangsa gagal dihubungi.

Seorang wanita berusia 22 tahun yang juga teman wanita kepada suami mangsa yang ditahan pada Khamis lepas, direman sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain