suria

Rayuan Sheikh Muszaphar Didengar 15 Januari

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 15 Januari ini untuk mendengar rayuan angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie terhadap keputusan mahkamah yang menolak permohonannya bagi membatalkan saman yang difailkan bekas pembantu peribadinya.

Rayuan itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas.

Pada 27 Oktober tahun lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Madihah Harullah menolak permohonan Dr Sheikh Muszaphar selepas memutuskan bahawa saman yang difailkan bekas pembantunya, Norlina Nordin, mempunyai merit untuk dibicarakan.

Kes saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 9 Februari ini.

Peguam Dzaki Ezhar Bahar yang mewakili Sheikh Muszaphar sebagai defendan dalam kes saman tersebut memberitahu media bahawa tarikh pengurusan kes itu ditetapkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Sesyen, Mazni Julaihi selepas kes itu disebut di hadapannya.

Pada 25 Julai 2008, Norlina menfailkan saman terhadap Sheikh Muszaphar kerana mendakwa telah melanggar kontrak pelantikannya sebagai pembantu peribadi dan menuntut ganti rugi melebihi RM90,000.

Norlina dalam pernyataan tuntutannya mendakwa Sheikh Muszaphar tidak menjelaskan upah perkidmatan sebagai pembantu peribadinya seperti yang dipersetujui menerusi satu surat pelantikan pada 2 April tahun lepas.

Sheikh Muszaphar dalam pernyataan pembelaan menafikan pelantikan Norlina sebagai wakilnya dalam sebarang urusan perniagaan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain