suria

PKA & PKFZ Perkenal Polisi Baru Pemberi Maklumat

PETALING JAYA: Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang (PKA) dan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) akan memperkenalkan polisi ‘pemberi maklumat’ dalam usahanya untuk membanteras korupsi dan penyalahgunaan kuasa.

Pengerusinya, Datuk Lee Hwa Beng berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat lembaga pengarah pada 16 Disember lalu, selepas meneliti cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Ad Hoc Mengenai Urusan Korporat.

“Audit Dalaman PKA akan dilantik sebagai ‘wakil khas’ untuk melaksanakan polisi baru itu dan pada masa yang sama Jawatankuasa Khas Pemberi Maklumat akan turut dibentuk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, ahli jawatankuasa khas tersebut akan terdiri daripada pengerusi jawatankuasa audit, auditor dalaman PKA, penasihat undang-undang PKA dan pengurus Jabatan Keselamatan & Bomba PKA.

“Satu sesi taklimat yang akan dikendalikan oleh auditor dalaman PKA akan diadakan pada pertengahan bulan ini untuk memaklumkan kepada semua staf PKA dan PKFZ berkaitan pelaksanaan polisi baru ini,” jelasnya lagi.

Menurut kenyataan itu, polisi baru ini adalah untuk mengalakkan kakitangan PKA dan PKFZ yang mempunyai maklumat mengenai gejala rasuah, korupsi, kecuaian, penyalahgunaan kuasa atau apa jua perbuatan yang bertentangan dengan polisi lembaga supaya tampil ke hadapan.

Pada masa yang sama, Lee berkata, pihaknya turut mengemukakan cadangan kepada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat berkenaan pelantikan dua orang anggota lembaga bukan eksekutif bebas.

Mereka ialah Datuk Ng Mann Cheong, seorang peguam berpengalaman selama lebih 30 tahun dan bekas presiden Institut Akauntan Malaysia, Nik Mohd Hasyudden Yusoff.

Artikel Berikut

Artikel Lain