suria

Penganggur Mengaku Tak Bersalah Guna, Miliki Kad Kredit Palsu

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua pertuduhan menggunakan kad kredit palsu untuk membeli dua komputer riba berjumlah RM6,057 dan satu pertuduhan memiliki lima kad kredit palsu.

Chung Sze Meng, 51, didakwa menggunakan kad kredit Citibank Mastercard kepunyaan Lee Kah Ho, untuk membuat pembayaran sebuah komputer riba jenis Apple, dua unit memori kad jenis Sodumm dan satu unit Kingston Molilelite USB Card Reader yang kesemuanya bernilai RM3,458.

Dia didakwa melakukannya di EPI Centre, Level 5, Pavillion, pada pukul 3.15 petang, 29 Disember lepas.

Sze turut didakwa menggunakan kad kredit palsu untuk membeli sebuah komputer riba jenis HP bernilai RM2,599 di Harvey Norman, Pavillion pada pukul 2.30 petang, pada tarikh sama, mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bapa kepada dua anak itu, juga didakwa memiliki lima keping kad kredit palsu pelbagai bank di bilik kawalan keselamatan Pavillion, pada pukul 2.30 petang, pada tarikh sama, mengikut Seksyen 467 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Hakim Abu Bakar Katar membenarkan Sze diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Feb ini untuk sebutan lantik peguam.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kasim. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain