suria

Pemandu Lori Didakwa Memandu Secara Berbahaya Hingga Sebabkan Kematian

JITRA: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian tiga beranak di persimpangan lampu isyarat jalan Jitra-Kodiang, dua minggu lepas.

Yusri Ismail, 35, dari Taman Bersatu di sini, yang ketika kejadian memandu lori muatan tanah didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 5.10 petang, 23 Disember lepas.

Dalam kejadian itu, Bunyamin Yaakub, 30, dan isterinya Normah Mat Isa, 29, serta anak mereka, Ilnur Balqis Bunyamin berusia sembilan bulan maut di tempat kejadian selepas kereta yang dinaiki mereka dirempuh lori dipandu Yusri.

Yusri didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 dan penjara tidak lebih lima tahun.

Majistret Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Februari sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Huda Idris manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain