suria

Kerajaan Kaji Kadar Bayaran Perkhidmatan Jalur Lebar - Rais

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji kadar bayaran perkhidmatan jalur lebar pada masa ini supaya perkhidmatannya dapat diperluaskan kepada lebih ramai pelanggan dan pada kadar yang tidak membebankan mereka, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata bagi tujuan itu, kementerian akan membuat perbandingan kadar harga dengan beberapa negara seperti Korea, Singapura, Thailand, Vietnam dan Kemboja.

"Kementerian akan cari jalan supaya harga penggunaan internet dan jalur lebar di Malaysia berada pada tahap yang tidak membebankan dan tidak mahal.

"Bagi tujuan itu kementerian akan membuat perbandingan harga yang digunakan di Korea, Singapura, Thailand, Vietnam dan Kemboja. Ini untuk memastikan kadar harga yang dikenakan adalah tidak membebankan," katanya pada sidang media selepas menjadi tetamu dalam wacana eksklusif bersama Radio Klasik Nasional di Wisma Radio, Angkasapuri, di sini, hari ini.

Beliau berkata walaupun perbincangan mengenai kadar bayaran kurang digemari syarikat penyedia perkhidmatan, tetapi kementerian tetap komited untuk menurunkan kadar bayaran supaya lebih ramai pengguna menggunakan perkhidmatan, seterusnya kadarnya akan menjadi lebih murah.

Rais berkata kementerian akan terus memantau kadar harga yang dikenakan selain menggesa semua syarikat penyedia perkhidmatan mempunyai tanggungjawab sosial untuk merealisasikan hasrat kerajaan itu.

"Kita harap harga penggunaan internet dan jalur lebar di Malaysia berada di tahap yang tidak membebankan...untuk itu semua syarikat perkhidmatan perlu mempunyai tanggungjawab sosial untuk mencapai hasrat kerajaan ini," katanya.

Sementara itu, Rais turut memaklumkan penggunaan isi rumah sebagai pengukur indeks penembusan jalur lebar di Malaysia yang digunakan sejak 10 tahun lalu sudah tidak praktikal untuk digunakan ketika ini.

Beliau berkata penembusan jalur lebar bukan hanya perlu fokus kepada isi rumah semata-mata sebaliknya perlu lihat kepada jumlah penggunaan telefon bimbit dan komputer yang kini mencecah 28 juta pengguna.

"Kaedah pengiraan isi rumah sebagai indeks pengukur kadar penembusan jalur lebar telah mula digunakan di Korea sejak 10 tahun lalu dan Malaysia turut menggunakan kaedah sama. Jadi kita (Malaysia) juga gunakan jumlah isi rumah yang berjumlah enam juta (ketika itu) untuk menetapkan indeks penembusan jalur lebar dalam negara.

"Kita tidak menolaknya, malah ketika ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKM) turut mencatatkan daripada jumlah enam juta isi rumah, penembusan jalur lebar telah mencapai tahap 31 peratus," katanya.

Beliau berkata walaupun penggunaan telefon bimbit dan komputer telah meningkat saban hari tetapi hairan bagaimana kedua-dua alat ini tidak dijadikan data untuk mengukur kadar penembusan jalur lebar ketika ini.

Katanya jika telefon bimbit dijadikan sebagai indeks atau penentu, ini lebih tepat kerana terdapat sebanyak 28 juta pengguna telefon bimbit di Malaysia dan boleh dikatakan semuanya menggunakan telefon yang mempunyai perkhidmatan 3G, yang mengandungi sistem digital dan bunyi, yang bermakna penembusan jalur lebar telah sampai dan meningkat.

Rais berkata jika kedua-dua alat ini digunakan sebagai indeks pengukur, beliau yakin indeks penembusan jalur lebar dalam negara telah melebihi tahap 31 peratus yang dicatatkan ketika ini.

Dalam perkembangan sama, Rais turut memaklumkan yang kerajaan akan membina lebih daripada 1,000 menara pemancar dalam pelbagai saiz di seluruh negara tahun ini bagi meningkatkan penembusan jalur lebar dalam negara.

Beliau berkata pembinaan menara di bawah seliaan SKM itu diyakini akan membantu meningkatkan kadar penembusan jalur lebar di beberapa kawasan di Sabah, Sarawak, Pahang, Kelantan dan Terengganu yang masih berada di bawah tahap 15 peratus ketika ini.

"Kementerian belum berpuas hati dengan kadar penembusan jalur lebar di bebarapa negeri. Untuk itu SKM sebagai penyelia pembinaan menara-menara tersebut dikehendaki menghantar data perkembangan kepada kementerian setiap dua minggu bagi mengetahui kenaikan kadar penembusan perkhidmatannya," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain