suria

Kastam Rampas 169 Kg Ketamin Bernilai RM3.04 Juta

NILAI: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) merampas dadah jenis ketamin seberat 169 kilogram (kg) bernilai RM3.04 juta dalam dua kejadian berasingan di Pelabuhan Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 29 Disember lepas.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ibrahim Jaapar berkata, dalam kejadian pertama, sebuah kontena disyaki membawa dadah dikesan di Pelabuhan Klang, kemudian ditarik ke pejabat cawangan narkotik di sini pada 30 Disember dan pada 31 Disember dengan kehadiran ejen perkapalan, kontena itu dibuka mengandungi 250 kotak 'Pooja' (serbuk yang digunakan penganut Hindu untuk sembahyang) serta 150 guni kacang putih dan 50 guni makanan lain.

"Cawangan narkotik telah menjalankan operasi pengesanan ke atas penerima dagangan ini selama empat hari dan mendapati alamat penerima adalah palsu. Modus operandi sindiket menggunakan alamat palsu dan sindiket akan cuba mengeluarkan kontena tanpa pengetahuan pihak kastam dengan istilah 'kontena terbang' dan ini melibatkan sindiket penyeludupan yang terancang," katanya pada sidang akhbar di pejabat Kastam Narkotik Ibu Pejabat dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas kontena tersebut pada 31 Disember menjumpai bahan kristal jernih disyaki dadah ketamin seberat 150 kilogram dengan anggaran harga RM2.7 juta yang disorok dalam 250 kotak 'Vibuthi' (serbuk yang digunakan penganut Hindu untuk sembahyang).

Katanya, bahan disyaki dadah ketamin ini dijumpai dalam 50 kotak 'Vibuthi' yang setiap kotak mengandungi 130 peket kecil 'Vibuthi'. Pada setiap 50 kotak 'Vibuthi' terdapat 10 peket kecil bahan dadah yang tersorok yang diletakkan di tengah-tengah susunan peket 'Vibuthi'.

Ibrahim berkata, dalam kejadian kedua, seorang lelaki warganegara India berumur dalam lingkungan 40-an yang tiba di KLIA dengan penerbangan Thai Airways pada kira-kira pukul 2.45 petang, pada hari berkenaan membawa dua kotak.

"Dua kotak yang mengandungi 'electric wet heat soup warmer' yang dibawa lelaki tersebut telah diimbas dan menunjukkan ada imej yang mencurigakan. Pemeriksaan menjumpai ruang khas dan setelah dibuka menjumpai serbuk kristal jernih yang disyaki dadah jenis ketamin.

"Dadah yang disyaki ketamin itu dianggarkan seberat 19 kilogram dengan nilai pasaran dianggarkan RM343,000. Warganegara India itu kini ditahan reman selama seminggu untuk siasatan lanjut," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain