suria

JAIS Arah Sosilawati, Pasangan Hadir Untuk Siasatan

PETALING JAYA: Usahawan kosmetik terkenal, Datuk Sosilawati Lawiya dan pasangannya yang ditangkap berkhalwat pada malam tahun baru Jumaat lalu, diarah hadir ke ibu pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Shah Alam pada pukul 9 pagi hari ini.

Arahan berkenaan bagi membolehkan JAIS menjalankan siasatan berhubung dakwaan pengesahan perkahwinan mereka.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Strategik JAIS, Shahrom Maarop, siasatan tersebut adalah prosedur biasa yang dijalankan apabila timbul keraguan lebih-lebih lagi melibatkan kes bernikah di luar negara yang tidak didaftarkan di sini.

"Siasatan ini akan dijalankan oleh pegawai penyiasat di Bangunan Sultan Idris Shah di Shah Alam pada pukul 9 pagi esok. Pasangan ini (Sosilawati dan pasangannya) perlu hadir dengan membawa surat nikah mereka.

"Pihak kami akan merekodkan kenyataan daripada pasangan ini sebelum kes ini diserahkan kepada bahagian Undang-undang Keluarga Islam kerana mereka akan membuat pengesahan sama ada sijil yang dikemukakan itu sah atau tidak," katanya kepada mStar Online di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan pengasas produk kecantikan Nouvelles Visages yang menafikan bahawa beliau dan pasangannya ditangkap khalwat sebaliknya mereka dikatakan telah bernikah di luar negara.

Ditanya atas kesalahan apa Sosilawati dan pasangannya ditahan, Shahrom menjelaskan: "Memang mereka ditahan atas aduan khalwat yang kita terima daripada penduduk tetapi selepas mereka tunjuk surat nikah kita bebaskan mereka."

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya akan menyiasat secara terperinci memandangkan kes itu telah mendapat perhatian umum.

"Saya tidak dapat pastikan bila siasatan akan selesai, mungkin juga ia memakan masa sehingga enam bulan kerana banyak prosedur yang perlu dijalankan.

"Antaranya ialah mengenal pasti wali dan saksi semasa majlis akad nikah itu berlangsung, sama ada ia mengikut hukum syarak atau tidak," ujarnya.

Shahrom berkata, jika perkahwinan usahawan kosmetik itu diputuskan tidak sah, pasangan itu perlu difaraqkan (berpisah sementara) sehingga kes itu diputuskan oleh mahkamah.

"Jika perkahwinan mereka sah, pasangan ini tidak akan didakwa di bawah Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 sebaliknya mereka akan didakwa di bawah Seksyen 40 (2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2003, atas kesalahan tidak mendaftarkan perkahwinan selepas bernikah di luar negara.

"Jika didapati bersalah tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.

mStar Online dalam laporan eksklusifnya kelmarin menyebut, Sosilawati dan pasangannya ditahan dalam satu serbuan yang dijalankan oleh pihak Masjid Kolej Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang diberi tauliah penguatkuasaan mencegah maksiat dan khalwat oleh JAIS sekitar pukul 12.30 tengah malam Jumaat lalu.

Pengasas kosmetik yang berasal dari Batu Pahat Johor itu bersama pasangannya yang juga seorang duda dilaporkan mengaku bersalah dan meminta maaf kepada penguatkuasa kerana berada dalam keadaan yang boleh disyaki berkhalwat.

Sosilawati memberi alasan beliau telah singgah ke kondominium sewaan teman lelakinya itu selepas keluar makan malam untuk berbincang mengenai majlis perkahwinan yang dirancang berlangsung pada minggu hadapan.

Dakwaan khalwat itu bagaimanapun dinafikan sebuah akhbar tabloid semalam, sambil mengaku bahawa mereka sebenarnya sudah pun berkahwin di luar negara. Tetapi pada malam kejadian, beliau gagal menunjukkan sebarang bukti surat nikah. Sekadar mengimbas perkahwinannya dengan Nash sebelum ini, pengasas produk kecantikan Nouvelles Visages ini berkahwin dengan bekas vokalis Lefthanded itu pada 16 November 2006 di Batu Pahat, Johor, namun bercerai talak satu pada 26 Mei 2009 selepas penyanyi berkenaan tidak lagi duduk sebumbung dengan Sosilawati

Kini mereka sedang menjalani majlis Sulh (perbincangan) kes tuntutan harta berjumlah RM1.38 juta oleh Sosilawati terhadap Nash di Mahkamah Tinggi Syariah yang masih lagi belum menemui jalan penyelesaian. Satu lagi proses sulh akan diadakan pada 12 Januari ini.

Artikel Berikut

Artikel Lain