suria

Seorang Maut, Tiga Cedera Motosikal Bergesel Kereta Pengiring Tengku Mahkota

KUANTAN: Seorang maut manakala tiga cedera termasuk dua parah selepas dua buah motosikal yang ditunggang mereka bergesel dengan sebuah kereta pengiring Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah di Km 12 Jalan Kuantan-Sungai Lembing dekat sini, semalam.

Pembonceng motosikal jenis Honda Ex5 pertama, Mohd Azman Mazlan, 17, dari Felda Bukit Goh dekat sini maut di tempat kejadian sementara penunggangnya, Wan Shukri Mohamad, 17, mengalami cedera parah.

Seorang lagi penunggang sebuah motosikal mengalami kecederaan ringan manakala pemboncengnya juga merupakan abang kepada Mohd Azman, Mohd Azim, 19, cedera parah.

Kejadian berlaku kirakira pukul 3 petang ketika Tengku Abdullah dalam perjalanan dari arah Kuantan menuju ke Kuala Lumpur manakala empat sahabat berkenaan dalam perjalanan dari rumah untuk memancing di Kampung Padang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supt Zulkifli Taha berkata kejadian berlaku ketika motosikal yang dinaiki Mohd Azman cuba memotong kenderaan di hadapannya namun gagal dan bergesel dengan sebuah kereta di hadapannya sebelum terjatuh ke atas jalan.

"Motosikal yang ditunggang Wan Shukri cuba mengelak daripada melanggar sahabatnya yang jatuh namun terjatuh ke laluan bertentangan sebelum bergesel dengan sebuah kereta pengiring tersebut," katanya di sini, hari ini.

Mangsa yang maut dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat, manakala yang cedera menerima rawatan di hospital yang sama. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain