suria

Perlukah Kerajaan Terus Subsidi Harga Gula: Najib

PEKAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengajak rakyat Malaysia sama-sama berfikir apakah perlu kerajaan terus memberikan subsidi harga gula, satu bahan makanan yang ternyata boleh mendatangkan kemudaratan kepada rakyat.

Perdana Menteri berkata, kerajaan membelanjakan hampir RM1 billion setiap tahun untuk subsidi harga gula, sedangkan bilangan pesakit kencing manis di negara ini merupakan antara yang tertinggi di dunia.

"Apa yang patut dilakukan kita perlu mengubah citarasa kita supaya kita kurangkan gula, saya sendiri tak guna gula kalau minum teh. Maknanya kita boleh ubah citarasa kita, tak perlu gula terlalu banyak.

"Tidak ada logiknya kerajaan keluarkan subsidi hampir RM1 billion setahun untuk subsidi satu bahan makanan yang boleh mendatangkan mudarat kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Parlimen Pekan, di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenaikan harga gula sebanyak 20 sen sekilogram yang diumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berkuatkuasa 1 Januari yang turut disifatkan ramai pihak sebagai "hadiah" tahun baru kepada rakyat.

Ditanya kesan kenaikan harga barangan lain berikutan kenaikan harga gula berkenaan, Najib berkata: "Kita akan kawal, mana (barang) (di) bawah harga kawalan tak boleh dinaikkan, kita akan pantau perkara ini.

"Kita akan kawal, ada barang komoditi yang kita kawal, ada yang terpaksa kita kaji dari semasa ke semasa, ada yang kita buat untuk kebaikan rakyat," kata Najib.

Menurut beliau, rakyat juga perlu melihat secara positif kenaikan harga gula iaitu berazam mengubah citarasa mereka demi kesejahteraan kesihatan.

"Kenaikan harga kenaikan gula untuk kebaikan rakyat, insiden (statistik) kencing manis di Malaysia antara yang tertinggi di dunia," kata Najib.

Beliau menegaskan sekalipun berlaku kenaikan harga gula, harga bahan berkenaan sebenarnya masih murah di negara ini berbanding negara Asean yang lain.

Terdahulu, pada majlis berkenaan, seramai 371 pelajar UPSR tahun 2009 yang memperoleh keputusan 5A menerima anugerah kecemerlangan daripada Perdana Menteri.

Ketika berucap, Najib mahu warga pendidik lebih kreatif dan innovatif dalam usaha mendidik anak bangsa.

"Kita perlu lihat bahawa proses pembelajaran juga perlu unsur kreativiti dan innovasi sebagai dimensi baru dalam proses pendidikan kita.

"Saya percaya perubahan seperti ini akan jadikan sistem pembelajaran kita lebih menarik dan para pelajar akan lebih dinamik dan segar," katanya.

Najib berkata golongan pendidik juga perlu menggunakan pelbagai medium termasuk internet bagi mencapai tahap kecemerlangan lebih tinggi. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain