suria

Pengasuh Cedera Diragut

ALOR SETAR: Seorang pengasuh yang membonceng sebuah motosikal cedera selepas dipercayai ditolak peragut, di Taman Hidayah, jalan Hutan Kampung, di sini petang semalam.

Ketika kejadian pada pukul 6.45 petang itu, Nur Basyirah Bukhari, 24, dalam perjalanan pulang selepas membeli belah di bandaraya Alor Setar bersama sepupu, ke rumahnya di kampung Masjid Lama, kira-kira 150 meter dari tempat dia diragut.

Mangsa mengalami luka serta lebam di hampir keseluruhan bahagian kanan badannya, selepas terjatuh daripada motosikal dan tercampak ke tengah jalan.

"Nasib baik pada waktu itu tidak banyak kereta yang lalu, saya pula tidak cedera kerana motosikal terkawal dan tidak terbalik," kata sepupunya, Nor Hafizah Mohamad Nazri, 24, ketika ditemui di rumah mangsa hari ini.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kota Setar, Deputi Supritendan Fiesal Libertus Abdullah berkata, polis menerima aduan daripada Nor Hafizah pada pukul 10.30 malam tadi mengenai kejadian itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain