suria

PAS arah Khalid Hentikan Kenyataan Tak Selari Dengan Parti

PETALING JAYA: PAS mengarahkan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad supaya berhenti daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang bertentangan dengan pendirian parti berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan majalah Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Yang Dipertua PAS Shah Alam itu juga seharusnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan pandangannya bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan di kalangan ahli dan juga masyarakat.

"Dalam isu ini saya fikir YB (Yang Berhormat) Khalid perlu lebih berhati-hati.

"Isu ini sangat sensitif, kalau kita tersalah memberi pandangan, impaknya sangat besar," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai perbalahan terbuka antara Khalid dan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berhubung keputusan kontroversi Mahkamah Tinggi itu.

Media hari ini melaporkan bahawa Zulkifli mendesak supaya Khalid keluar dari PAS dan menyertai parti lain termasuk DAP kerana menyokong keputusan tersebut.

Zulkifli juga mendakwa kenyataan Khalid itu telah merosakkan imej PAS sebagai parti yang memperjuangkan Islam.

Desakan Zulkifli itu dibuat sebagai respons kepada kenyataan awal Khalid yang dimuatkan dalam blognya iaitu Allah bukan Tuhan kepada orang Islam semata-mata tetapi Tuhan kepada seluruh alam semesta, termasuk orang bukan Islam dan Rasulullah tidak pernah menghalang penggunaan perkataan Allah oleh orang bukan Islam.

Katanya, al-Quran sendiri mempunyai banyak ayat yang menunjukkan bahawa orang bukan Islam, sama ada golongan Musyrikin, Yahudi mahu pun Nasrani menggunakan perkataan Allah apabila mereka memaksudkan Tuhan semesta alam.

Bagaimanapun Tuan Ibrahim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAS beranggapan bahawa kenyataan Ahli Parlimen Shah Alam itu merupakan pandangan peribadinya dan tidak mewakili parti.

"Itu hanyalah pandangan peribadi beliau, bukan pandangan PAS secara keseluruhannya," katanya.

Ditanya sama ada pihaknya akan mengambil sebarang tindakan terhadap Khalid, Tuan Ibrahim berkata: "Saya fikir tak perlulah sampai nak ambil tindakan disiplin terhadap beliau.

"Kita dalam PAS sentiasa mengamalkan dasar terbuka apabila mengeluarkan pandangan, tapi dalam hal ini beliau bercakap mengikut pandangannya berdasarkan hukum ciptaan iaitu tuhan kepada semua manusia ialah Allah."

Mengulas sama ada tindakan Khalid itu akan menjatuhkan imej PAS kerana masyarakat melihat wujudnya perselisihan pandangan di kalangan pemimpin parti itu terutamanya dalam isu-isu sensitif, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya sememangnya tidak menyekat kebebasan bersuara.

"Kita tak sekat ahli-ahli PAS yang ramai ini untuk memberi pandangan, tapi pandangan yang menjadi dasar PAS adalah datang dari enam peringkat tertinggi dalam parti iaitu Mursyidul Am dan timbalannya, Presiden dan timbalannya, Setiausaha Agung serta Ketua Penerangan.

"Kenyataan mereka ini kita anggap sebagai kenyataan rasmi parti," katanya.

Tambah Tuan Ibrahim lagi, pendirian PAS adalah jelas bahawa parti itu sememangnya membantah kebenaran yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi itu berhubung penggunakan kalimah Allah.

"PAS membantah sekeras-kerasnya mengenai perkara ini dan kami menyokong semua usaha termasuk rayuan yang akan dilakukan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap keputusan itu," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain