suria

Kalimah Allah: Mesti Ada Garis Panduan Jelas - Dr. Mohd Asri

PETALING JAYA: Satu garis panduan perlu diwujudkan ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar mingguan Gereja Katolik menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin hari ini berkata, kebenaran tersebut perlu disertakan dengan beberapa syarat khusus bagi memelihara kesucian nama Allah serta mengelakkan perbalahan antara kaum.

"Jika keputusan mengenai penggunaan kalimah Allah hendak dipakai, garis panduan dan peraturan hendaklah dibuat.

"Elakkan perbalahan kaum tanpa melihat kepada penyelesaian terlebih dahulu.

"Saya akan mencadangkan beberapa garis panduan selepas ini," katanya kepada mStar Online di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis lepas yang membenarkan akhbar mingguan Herald The Catolic Weekly menggunakan perkataan "Allah".

Kata Mohd. Asri lagi, penggunakan kalimah Allah oleh orang bukan Islam perlu diteliti dengan serius walaupun menurutnya Allah merupakan tuhan sebenar kepada semua manusia.

"Manusia memang patut memanggil tuhan dengan panggilan Allah, itulah tuhan yg sebenar.

"Sebelum kedatangan Nabi Muhammad S.A.W, nama Allah telah digunakan untuk memanggil tuhan, namun, meletakkan nama tersebut dengan tujuan menghina adalah patut ditentang... ini seperti jika menulis nama Allah pada berhala," tegasnya.

Katanya lagi, jika kalimah tersebut digunakan dengan menepati syaratnya, perkara tersebut tidak menjadi masalah.

"Jika mereka berkata, 'Allah tuhan semesta alam', itu tidak menjadi masalah, kerana itu kenyataan yang benar. Kuffar Quraish pun memanggil tuhan Allah, tetapi tidak menamakan berhala mereka Allah," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain