suria

Gambar Suspek Bunuh Isteri Diedarkan Ke Seluruh Negara

KUALA LUMPUR: Gambar Mohafri Mohamed yang diburu polis berhubung pembunuhan kejam isterinya yang ditemui mati dalam sebuah almari pakaian di rumahnya di Pinggiran Ukay di sini 30 Disember lepas telah diedarkan di seluruh negara.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mammah berkata, usaha itu dilakukan kerana yakin suspek yang berumur 37 tahun masih berada dalam negara.

"Gambar suspek telah diedarkan di seluruh negara dan polis percaya suspek tidak akan dapat menyembunyikan diri lebih lama lagi memandangkan usaha memburu giat dijalankan di seluruh negara termasuk di sempadan negara."

Beliau berkata, polis sedang mencari maklumat dan petunjuk lain hasil soal siasat yang dijalankan ke atas teman wanita suspek yang ditahan baru-baru ini.

Omar berkata, wanita itu dipercayai mengenali suami mangsa sejak awal tahun lepas atas urusan perniagaan makanan yang dijalankan bersama si mati.

"Teman wanita suspek itu kini ditahan reman sehingga 6 Januari ini bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, Omar berkata, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak bimbang untuk ke mana-mana klinik kerana kes samun membabitkan pelanggan klinik adalah terpencil.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas satu kes samun membabitkan empat lelaki tempatan di sebuah klinik di Ampang Jaya awal Disember lepas di waktu orang ramai sedang berurusan untuk rawatan kesihatan mereka.

Empat lelaki yang tidak bertopeng itu menyerbu klinik itu selepas ada di antara mereka berpura-pura menyamar sebagai pelanggan dan kemudian secara tiba-tiba mengeluarkan parang dan senjata lain bagi menyamun mangsa.

Mangsa terdiri daripada doktor, jururawat dan beberapa orang pelanggan yang kerugian kesemuanya dianggarkan sebanyak RM4,000 namun tiada di antara mereka yang dicederakan.

Omar berkata, gambar empat lelaki itu yang diperoleh daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) telah diedarkan dan polis yakin dapat memberkas kesemua suspek yang masih berada dalam negara dan telah bergiat aktif sejak tahun lepas yang turut menjadikan sebuah syarikat penghantaran kurier sebagai mangsa mereka. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain