suria

Cadangan Buka Ladang Stevia Atasi Masalah Gula

KUALA LUMPUR: Ketika kenaikan harga gula bermula Jumaat lalu mendapat pelbagai reaksi, sebuah syarikat tempatan bercadang membuka sebuah ladang terbesar dan pusat pemprosesan biotekologi menggunakan tumbuhan herba 'stevia' secara komersil.

Stevia merupakan pemanis semula jadi yang tidak mengandungi kalori.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan A'Azam, Dr Sharifah Sabrina berkata, secara tradisional stevia mengandungi sifar kalori, lemak, kolesterol, gula dan karbohidrat.

"Ia boleh dijadikan salah satu alternatif utama untuk mengurangkan pengambilan gula," katanya hari ini.

Selain menjadi pemanis semulajadi katanya, stevia juga boleh mengurangkan kadar gula dalam darah, melawaskan kencing, menurunkan tekanan darah, membunuh bakteria, membunuh kulat, membunuh virus, mengurangkan keradangan dan juga boleh membantu mengurangkan berat badan.

Pemanis itu diperoleh menerusi daun pokok stevia yang dikeringkan. Pokok stevia berasal dari negara-negara Amerika Selatan khususnya, Paraguay.

Dr Sharifah turut mencadangkan pengunaan stevia dapat diperluaskan di Malaysia bagi mencegah kandungan gula yang berlebihan di kalangan rakyat Malaysia ketika ini.

Kumpulan A' Azam dengan kerjasama anak syarikatnya, BNG Global Holdings Sdn Bhd, telah menjalankan kajian dan penyelidikan dengan beberapa pakar sains dari Pusat Pembangunan dan Penyelidikan Bioteknologi di India yang berpusat di Poona untuk menanam anak-anak pokok stevia secara ujian terlebih dahulu.

"Kita perlu membuat kajian secara menyeluruh kerana faktor cuaca memainkan peranan yang penting. Kajian ini meliputi aspek penanaman di Malaysia dan juga beberapa negara Asia Tenggara yang lain. Kami masih menjalankan penanaman kajian secara saintifik dan juga ujian ketika ini.

"Kami telah menjalankan kajian tanah dan ujian di Pekan, Mersing, Bentong dan Sabah. Proses ini dijangka selesai dalam tempoh jangka masa terdekat ini. Kami juga telah mendapat banyak permintaan dari peniaga kecil yang begitu minat dengan penanaman stevia ini," katanya.

Dr Sharifah berkata, cadangan ladang tersebut telah juga dimaklumkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain