suria

Baru Tinggal Rumah Sejam, Anak 11 Bulan Didera Amah

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri terkejut apabila mendapati anak kedua mereka berusia 11 bulan yang ditinggalkan bersama pembantu rumah selama sejam mengalami lebam-lebam di bahagian pipi, dahi dan belakang bahagian selepas pulang dari bersarapan di restoran berhampiran rumah di Bandar Damansara dua hari lepas.

Berang dengan insiden itu, pasangan itu menuntut penjelasan daripada pembantu rumah warga Filipina berusia 31 tahun, yang menafikan melakukan perbuatan itu.

Tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan, pasangan itu kemudian bertindak melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumah mereka.

Berdasarkan rakaman CCTV, amah itu didapati mendera bayi dengan memukul tangan dan menolak muka dan badan bayi malang itu dinding dengan menggunakan tangannya.

Ibu bayi itu, seorang setiausaha di sebuah syarikat, dan suaminya kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Petaling Jaya pada hari sama berhubung insiden itu.

Suspek kemudian diberkas di rumah mangsa semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mammah berkata, polis sedang dalam proses mendapatkan reman dan dijangka memperolehnya hari ini.

"Suspek boleh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya kepada pemberita hari ini.

Suspek yang mempunyai dokumen sah, berkhidmat dengan pasangan itu sejak Oktober tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain