suria

Tok Mat Sempat Minta Belikan Nasi Padang: Pemandu

KUALA LUMPUR: "Beliau sempat meminta saya membelikannya nasi padang semalam," itulah permintaan terakhir Bekas Menteri Penerangan dan bekas Setiausaha Agung Umno Tan Sri Mohamed Rahmat kepada pemandu peribadinya, Ibrahim Mohamad, 32.

Ibrahim yang berkhidmat dengan Allahyarham Tok Mat selama dua tahun berkata, Allahyarham menghubunginya dalam pukul tiga petang semalam dan memintanya membelikan nasi padang untuknya.

"Saya tidak mengesyaki apa-apa dengan permintaan Tok Mat, saya belikan nasi tersebut dan menghantar ke rumahnya," katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Tambahnya lagi kali terakhir dia berbual dengan Allahyarham pada malam semalam menerusi telefon.

"Beliau meminta saya membawa Puan Sri ke beberapa tempat pada hari ini, esok dan lusa. Walaupun saya sepatutnya bercuti dia tetap meminta saya datang ke rumah (pagi ini) dan saya kata ok," ujarnya lagi.

Ibrahim memberitahu dia sampai ke rumah Allahyarham pada jam 9 pagi tadi, namun terkejut apabila dimaklumkan pemergiaan Allahyarham oleh Puan Sri Salbiah Abdul Hamid.

Katanya lagi, Allahyarham sangat mengambil berat tentang dirinya selain menjaga kebajikannya sebagai seorang pekerja.

"Tok Mat bukan seorang yang cerewet. Beliau suka membantu jika saya berada dalam kesusahan.

Sementara itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan Tok Mat sebagai seorang yang baik hati, periang dan banyak membantu.

"Beliau juga sangat komited terhadap parti dan saya banyak belajar daripada beliau. Semoga rohnya dicucuri rahmat," katanya.

Bagi Pengerusi Majlis Muzik Malaysia, Datuk A Rahman Hassan pula memberitahu Allahyarham seorang yang banyak berjasa kepada rakan-rakan dan negara.

Menurut Rahman, walaupun Allahyarham Tok Mat kelihatan seorang yang garang akan tetapi beliau adalah seorang yang baik.

"Beliau amat komited dalam kerjanya, terutamanya dalam menaikkan nama RTM sebagai stesen kerajaan," katanya.

Tambahnya Radio Irama Melayu Asli (RIMA) (kini Klasik Nasional) adalah antara sumbangan besar beliau terhadap industri penyiaran dalam memartabatkan muzik Melayu asli yang memulakan siaran pada tahun 1994.

"Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar pada negara dan Umno," ujarnya lagi.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini pada pukul 5.45 petang tadi.

Allahyarham, yang sepatutnya menyambut ulang tahun kelahirannya ke-72 pada Isnin depan, dilaporkan meninggal dunia dalam tidur di kediamannya di Bukit Damansara pagi tadi.

Turut hadir di majlis pengebumian itu adalah Datuk Seri Mohd Shafie Afdal, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Azmi Khalid.

Allahyarham Tok Mat meninggalkan seorang balu, tiga orang anak dan lima orang cucu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain