suria

Tok Mat Ahli Umno Yang Setia: PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Mohamed Rahmat sebagai seorang ahli Umno yang setia kepada perjuangan parti.

Beliau berkata, Mohamed atau lebih dikenali sebagai Tok Mat juga telah banyak memberi sumbangan bagi memulihkan parti setelah ia diharamkan pada 1987.

"Beliau telah menjalankan tanggungjawab kepada Umno sebaik mungkin agar Umno terus berjaya menjadi tunggak Barisan Nasional dan kerajaan.

"Kita doakan mudah-mudahan Allah SWT merahmati roh Allahyarham," katanya dalam perutusan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohamed hari ini.

Mohamed disedari meninggal dunia di kediamannya di Bukit Damansara di sini pada kira-kira jam 8 pagi ini ketika isterinya Puan Sri Salbiah Abdul Hamid mahu menutup mesin dialisis yang dipasang pada tubuh suaminya itu.

Menurut anaknya, Datuk Nur Jazlan yang juga Ahli Parlimen Pulai, Allahyarham bapanya menghidap penyakit buah pinggang sejak 10 tahun lepas dan perlu menjalani rawatan dialisis setiap hari.

Selain pernah memegang jawatan sebagai Menteri Penerangan, Allahyarham juga pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Kewangan (1973), Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri (1974) selain jawatan Setiausaha Agung Umno dan Barisan Nasional dari 1988 hingga 2004.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

"Saya sekeluarga berasa amat sedih mendengar berita kembalinya Tan Sri Mohamad Rahmat ke rahmatullah awal hari ini.

"Saya ingin mengucapkan takziah kepada Puan Sri Salbiah Abdul Hamid sekeluarga di atas kehilangan ini," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Allahyarham bukan sahaja seorang menteri dan duta yang telah membantu membangunkan negara, tetapi juga seorang negarawan yang telah memainkan peranan besar melalui komitmen dan dedikasi beliau merealisasikan matlamat negara, terutamanya semasa beliau dilantik sebagai Menteri Penerangan dan Setiausaha Agung Barisan Nasional.

"Pemergian Allahyarham akan meninggalkan kesan yang mendalam di hati rakyat Malaysia dan Tok Mat akan sentiasa berada di hati semua.

"Ingatan tulus ikhlas dan doa kami bersama keluarga Allahyarham. Al-Fatihah," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain