suria

Selangor Rancang Platform "Plug and Play" Di I-City

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor merancang untuk mengadakan platform "Plug and Play" di I-City tahun ini bagi membantu mewujudkan pembangunan ala Lembah Silikon di Shah Alam, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Di samping I-City mempunyai prasarana yang berteknologi serba maju, katanya, negeri ini akan memberikan tumpuan kepada unsur-unsur ekosistem ala Lembah Silikon yang lain seperti membangunkan kumpulan bakat keusahawanan, menyusun program untuk menghubungkan usahawan dengan rakan kongsi modal teroka, dan melibatkan universiti dalam memberikan sokongan peringkat yang lebih tinggi bagi industri.

"Pusat teknologi tinggi hari ini perlu menyediakan adunan perniagaan teknologi tinggi dan kemudahan gaya hidup dengan rumusan kejayaan yang diraih daripada kedudukannya sebagai sebuah bandaraya menarik bagi golongan berkemahiran tinggi," katanya pada satu sesi dialog dengan usahawan teknologi anjuran bersama Pusat Pelaburan Negeri Selangor dan I-City Properties Sdn Bhd sempena perayaan detik-detik menjelangnya tahun baharu di I-City Park, di sini, Khamis.

Prasarana ICT yang disediakan dengan sempurna akan membantu pelabur meningkatkan kelebihan daya saing mereka, katanya.

Abdul Khalid berkata ada banyak perkara yang boleh dilakukan oleh usahawan untuk meningkatkan kecekapan dan ini akan menambah nilai dan memberikan kelebihan daya saingan kepada mereka.

Contohnya, kata beliau, jika ada sistem untuk memantau kerugian daripada air tidak terhasil (non-revenue water), kerajaan negeri Selangor akan dapat menjimatkan banyak wang.

Air tidak terhasil merujuk kepada air yang disalurkan tetapi hilang sebelum ia sampai kepada pelanggan, akibat kebocoran. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain