suria

PCM Di Sarawak, Sasar 30 Kerusi Pada Pilihan Raya Negeri

KANOWIT: Parti Cinta Malaysia (PCM), sebuah parti politik terbaru yang berdaftar kira-kira enam bulan lalu, kini berkembang sayapnya di Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Gabriel Adit Demong, 60, yang dilantik sebagai pengerusi PCM negeri, semalam melancarkan parti yang berpangkalan di Pulau Pinang itu di Nanga Bejait, dekat sini.

Turut hadir pada majlis itu ialah presidennya Tang Weng Chew, naib presiden Huan Cheng Guan, setiausaha agung Loo Kien Seang, bendahari agung Lim Kim Chu dan kira-kira 300 penduduk tempatan.

Adit memberitahu pemberita bahawa PCM akan bertanding pada pilihan raya negeri akan datang yang dijangka diadakan antara sekarang dan Mac 2011.

"Kami sudah bersedia termasuk dari segi kewangan. Saya mengenal pasti kira-kira 30 kerusi di mana kami mempunyai peluang yang munasabah untuk menang.

"Kerusi tersebut kebanyakannya di kawasan pedalaman majoriti penduduk Iban, Bidayuh, Melayu, Melanau dan Orang Ulu," katanya.

Adit, bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) selama hampir setahun, berkata PKR dan penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak serius dalam membawa keluar Sarawak daripada Barisan Nasional.

Beliau mendakwa sokongan terhadap PKR dan Anwar semakin merosot berikutan tiada tindakan mereka bagi mengatasi masalah rakyat dan rancangannya untuk memantapkan parti di seluruh negeri itu.

Adit menjelaskan PCM akan mengambil kesempatan terhadap isu Tanah Hak Adat (NCR) dan rasa tidak puas hati penduduk di negeri ini.

Sementara itu, beliau menafikan dakwaan bahawa beliau menyertai PCM untuk keuntungan peribadi.

Adit juga berkata beliau menerima jemputan terbuka dari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menemuinya apabila beliau dan PCM sudah bersedia. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain