suria

Lelaki Yang Dilaporkan Hilang Dua Hari Lepas Ditemui Mati

ALOR SETAR: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang dua hari lepas ditemui mati di dalam semak di tepi Sungai Pengkalan Kundur, Kampung Kuala Alor di sini pagi ini.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kota Setar DSP Fiesal Libertus Abdullah berkata mayat Chew Chee Seng, 32, dari Simpang Kuala ditemui dalam keadaan terlentang oleh dua remaja di tepi sungai itu pada kira-kira pukul 11.30 pagi.

Beliau berkata bapa Chew membuat laporan polis mengenai kehilangan anaknya pada pukul 12 tengah hari Khamis lepas apabila menyedari anaknya tidak pulang selepas tiga jam keluar dari rumah.

Menurutnya bapa Chew membuat laporan awal mengenai kehilangan anaknya itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar kerana bimbang dengan keadaan Chew yang menghidap penyakit sawan.

"Kesan luka yang ditemui pada mayat itu mungkin disebabkan gigitan haiwan seperti biawak kerana kedudukan mayat yang hampir dengan sungai dan di dalam kawasan semak," katanya di sini hari ini.

Bagaimanapun Feisal berkata polis akan menunggu laporan bedah siasat sebelum membuat sebarang kesimpulan dan jika hasil laporan itu menunjukkan ada unsur jenayah, siasatan lanjut akan dijalankan.

Sementara itu remaja yang menemui mayat Chew, Mohd Izul Asyraff Jamuder, 15, berkata beliau menemui mayat tersebut semasa berada di tepi sungai itu untuk memancing bersama dengan seorang rakannya.

Beliau yang ditemui di tempat kejadian berkata semasa tiba di kawasan sungai, beliau bersama rakannya itu dimaklumkan oleh seorang lelaki mengenai satu objek di dalam kawasan semak, dan selepas disiasat beliau mendapati ia adalah mayat seorang lelaki. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain