suria

Dua Pelancong Korea Lemas Ketika Cuba Selamatkan Rakan

KUCHING: Percutian sekumpulan pelancong Korea di bandaraya ini berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka lemas manakala seorang lagi berada dalam keadaan tenat apabila dibawa arus deras ketika mandi di Pantai Damai, Santubong, dekat sini semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Kim Sung Hyun, 20, dan Jung Yo Han, 24, lemas ketika cuba menyelamatkan rakan mereka, seorang wanita yang berusia 24 tahun, yang dibawa arus deras ketika mandi di pantai itu.

Kumpulan pelancong yang terdiri daripada 24 orang itu tiba di bandaraya ini sejak tiga hari lepas menerusi penerbangan terus Seoul-Kuching yang dicarter dan baru mendaftar masuk ke sebuah pusat peranginan pukul 2 petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, kumpulan itu dilihat sedang mandi di pantai berkenaan walaupun diberi amaran oleh pekerja di pusat peranginan tersebut kerana pada ketika itu bendera merah menunjukkan isyarat bahaya.

Difahamkan kumpulan tersebut tidak menghiraukan amaran tersebut dan terus mandi di pantai itu.

Wanita tersebut dibawa arus ke tengah laut dan tenggelam manakala Kim dan Jung yang juga mandi di tepi pantai menyedari keadaan tersebut dan cuba menyelamatkan wanita tersebut.

Wanita tersebut berjaya diselamatkan oleh seorang anggota Jabatan Pertahanan Awam, yang dikenali sebagai Abdul Razak, 45, yang sedang bertugas di menara tinjauan.

Wanita tersebut dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

Operasi mencari dan menyelamat terus dilancarkan dan mayat Kim dijumpai pada 3.30 petang manakala mayat Jung dijumpai pada 4.10 petang, tidak jauh dari tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mun Kock Keong mengesahkan kejadian tersebut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain