suria

Cadangan Pendidikan Seks Di Kem PLKN Akan Dibincangkan Bulan Ini

KUCHING: Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) akan membincangkan cadangan memperkenalkan modul pendidikan seks dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dalam mesyuarat majlis itu pada bulan ini.

Pengerusi MLKN Datuk Dr Tiki Lafe berkata mesyuarat majlis itu akan membincangkan pandangan dan maklum balas yang dikumpul dari pelbagai pihak oleh Jabatan Latihan Khidmat Negara.

"Kami mahu mengajar pelatih lebih dari hanya penyakit HIV dan AIDS seperti yang dilakukan sekarang. Kami mahu memperkenalkan sebuah program yang lebih tersusun bagi mencapai objektif kami," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut ketibaan 81 peserta PKLN siri 7/2010 dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini semalam.

Dr Tiki mencadangkan supaya istilah pendidikan seks diubah kepada pendidikan gender agar ia lebih diplomatik, menyenangkan serta tidak mengelirukan rakyat.

Sementara itu, katanya, seramai 140,000 pelatih akan mengikuti PLKN bagi siri 7/2010 di 79 kem di seluruh negara tahun ini.

Beliau juga berkata Jabatan Latihan Khidmat Negara terpaksa menutup lima kem PLKN di Kelantan, Pahang, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan kerana tidak sesuai dan tidak selamat.

Antara sebab penutupan kem tersebut ialah infrastruktur yang sedia ada sudah usang dan tidak selamat serta pemilik tanah tidak memperbaharui perjanjian pajakan tanah dengan pengusaha kem, katanya.

"Kita akan memberi tempoh satu hingga dua tahun kepada pengusaha kem untuk menaiktaraf kem yang usang dan tidak selamat," katanya sambil menambah sebelum ini terdapat 10 kem telah diarah tutup atas sebab yang sama. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain